Axle Motorsport, MAM anjur eRGP Causeway Edition

Iklan
Alex Yoong

SELEPAS kejayaan penganjuran eRacing GP Southeast Asia (eRGP SEA) Global Edition yang turut menyaksikan ramai pelumba litar sebenar berentap dengan pelumba simulator, Axle Motorsport mengambil langkah memastikan eRacing terus berada dalam kelasnya tersendiri.

Edisi kali ini yang dikenali sebagai Causeway Edition akan menyaksikan Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) tampil bekerjasama dengan Axle Motorsport bagi meneruskan kesinambungan kejayaan penganjuran ‘Lock Down Edition’ yang mana ratusan pelumba seluruh Malaysia dan Singapura beradu kepakaran lumba simulator menerusi platform RaceRoom.

Iklan
Iklan

Presiden Persatuan Permotoran Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir nyata amat teruja dengan penganjuran eRGP Causeway Edition.

"Ia adalah langkah yang bagus oleh pihak yang menganjurkan kejohanan eRacing. Apatah lagi ia dikendalikan sendiri oleh bekas pelumba Formula 1, Alex Yoong sudah pasti akan menjadi kayu ukur buat penganjur yang lain.

Iklan

"Syabas buat Alex Yoong dan pasukannya atas penganjuran ini. Saya yakin seluruh peminat sukan ini tidak sabar untuk menyaksikan kejohanan ini nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Alex yang juga pengasas Axle Motorsport mengambil peluang itu untuk meluaskan jenama eRGP SEA menerusi platform atas talian serta menjalin hubungan kerjasama dengan badan pengelola sukan permotoran Malaysia dan juga Singapura.

Iklan

"Pertama sekali, saya mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Permotoran Malaysia di atas kebenaran untuk menganjurkan eRGP Causeway Edition yang sudah pasti memberikan kami keyakinan yang tinggi untuk meneruskan penganjuran ini.

"Dengan kehadiran ramai bintang baharu dalam perlumbaan simulator, kami tekad untuk menyediakan platform berkelas dunia untuk mereka mempamerkan kemampuan mereka.

"Kami menerima ratusan peserta setiap minggu yang berhempas pulas untuk melayakkan diri ke pusingan akhir. Untuk edisi kali ini, mereka akan menggunakan jentera Formula 4 iaitu Tatuus yang sama seperti perlumbaan sebenar di Eropah.

"Para pelumba juga akan berentap di empat litar terpantas dan mencabar antaranya Litar Brands Hatch, Litar Zandvoort, Litar Laguna Seca dan juga Litar Suzuka,” ujarnya.

Pelumba terbaik berusia 18 tahun dan ke bawah dari Malaysia dan Singapura juga akan memenangi sesi ujian bersama pasukan go-kart, Stratos Motorsport.

Pengurus pasukannya, James Russel amat berbesar hati dengan penglibatannya sambil berkata:"Kami tahu dengan potensi para pelumba simulator dan amat percaya dengan kepantasan yang mereka miliki. Ia juga akan boleh diterjemahkan di atas litar sebenar dan kami berbesar hati untuk memberi mereka peluang seperti ini.”

Untuk maklumat lanjut serta berita terkini mengenai eRacing GP SEA Causeway edition, sila lawati laman Facebook rasmi di www.facebook.com/ergpsea atau laman sesawang di www.ergpsea.com.