PUTRAJAYA - Jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dari jangkitan Covid-19 terus meningkat kepada 3,452 kes apabila terdapat pertambahan sebanyak 103 kes hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peratusan jumlah keseluruhan yang pulih dan dibenarkan discaj adalah 62.4 peratus.
"Bilangan kes yang didiscaj hari ini adalah lebih dua kali ganda bilangan kes yang dilaporkan," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Menurutnya, setakat jam 12 tengah hari, terdapat 50 kes baharu yang telah dilaporkan.
"Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,532 kes," katanya.
Oleh yang sedemikian, beliau berkata jumlah aktif dengan kebolehjangkitan adalah 1,987 kes.
"Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan," katanya.
Dr Noor Hisham berkata, seramai 43 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
"Daripada jumlah tersebut, 25 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.
Sementara itu menyentuh mengenai kematian akibat Covid-19, beliau berkata, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC)Kebangsaan merekodkan pertambahan satu kes menjadikannya 93 kes.
"Kes kematian ke 93 melibatkan pesakit ke 5483 merupakan perempuan berumur 72 tahun dan mempunyai penyakit barah dan darah tinggi.
"Dia dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 20 April dan disahkan meninggal dunia jam 9.15 pagi hari ini.
"KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarganya," katanya.