PUTRAJAYA - Kerajaan memaklumkan bahawa bekalan keperluan makanan harian di negara ini mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara secara berterusan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berdasarkan maklumat daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang sentiasa melakukan pemantauan bekalan makanan harian seperti beras, buah-buahan, sayur-sayuran, ikan, ayam, daging, telur dan susu segar di seluruh negara.
"Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga memberi jaminan barang makanan basah seperti sayur-sayuran juga lebih daripada mencukupi.
"Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak bimbang dengan bekalan makanan dan keperluan harian bagi menyambut bulan Ramadan kerana ia dijamin mencukupi,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.
Sehubungan itu, Ismail Sabri turut menasihati rakyat Malaysia khususnya orang Islam yang akan membuat persiapan beli-belah bagi menyambut bulan Ramadan untuk sentiasa mematuhi peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menjaga kebersihan diri dan mengamalkan penjarakan sosial.
Beliau juga berharap agar orang ramai dapat membuat perancangan untuk pembelian supaya tidak terlalu bersesak di pasar raya.
"Minggu ini umat Islam tentunya akan membuat persiapan termasuk membeli-belah untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan. Saya harap sewaktu pembelian termasuklah di pasar raya sekalipun sila patuh kepada arahan yang dikeluarkan termasuk mengamalkan penjarakan sosial.
"Kalau kita lihat hari ini kalau di pasar raya memang ada dipraktikkan penjarakan sosial. Kadang-kadang barisan begitu panjang sekali. Rancang masa untuk keluar sebaik mungkin,” katanya di sini.