KUALA LUMPUR - Iftar Ramadan tidak dibenarkan diadakan di masjid dan surau di negara ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian koronavirus (Covid-19).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, keputusan itu berdasarkan arahan semasa yang tertakluk dengan ketetapan PKP di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menurutnya, bagaimanapun sumbangan pek makanan berbuka puasa dibenarkan diedarkan bagi kumpulan memerlukan.
"Selagi ada PKP, iftar Ramadan tidak akan diadakan. Jika Ramadan bermula Jumaat ini, maka kita kekal dalam keadaan tiada iftar di masjid, hanya beri makanan dan makan di rumah masing-masing.
"Insya-ALLAH keputusan mengenainya akan dibuat dari semasa ke semasa dengan mengambil kira semua aspek," katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Program Dapur Al-It'am Masjid dan Surau Wilayah Persekutuan di Masjid Salahuddin Al Ayyubi Taman Melati hari ini.
Turut berlangsung adalah pelancaran Zakat Online dan Penyampaian Bantuan Pengimarahan, Ihya Ramadan, Kebersihan atau Keceriaan peringkat Wilayah Persekutuan.
Mengulas lanjut, sebanyak 72 masjid dan surau akan terlibat penyediaan makanan berbuka puasa sepanjang Ramadan untuk diagihkan kepada kumpulan sasar dengan peruntukan RM2.16 juta.
"Setiap masjid atau surau terlibat diberikan RM1,000 untuk memasak (setiap hari) atau RM30,000 sebulan.
"Lebih kurang enam wakil akan memasak di dapur masjid atau surau. Kemudian akan ada kumpulan yang terlibat dengan agihan di kawasan terlibat selepas waktu Asar. Jadi, tidak akan ada kejadian orang ramai beratur untuk dapatkan makanan," katanya.
Katanya, beliau menganggarkan hampir 26,000 keluarga atau 100,000 orang terdiri golongan memerlukan akan disantuni setiap hari dalam program tersebut.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengulas berhubung pelaksanaan tarawih yang tidak dibenarkan dilaksanakan di masjid dan surau sepanjang PKP.
"Solat tarawih itu sunat yang penting kita dirikan solat. Jika dilakukan bersama keluarga itu lebih baik, tapi solat sendirian juga tiada masalah.
"Saya cadang kalau boleh nak buat satu video cara solat tarawih di rumah yang mudah. Mungkin Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) boleh buat demonstrasi ringkas untuk panduan jelas," katanya.