PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan bahawa tiada keperluan untuk membuat saringan terhadap 32 juta penduduk negara ini.
Sebaliknya kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pihaknya menggunakan pendekatan bersasar secara elektif.
"Sejak awal lagi, kita jalankan pendekatan bersasar kepada golongan berisiko tinggi," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Menurutnya, KKM telah melakukan pengesanan aktif terhadap individu dalam siasatan (PUI) kerana mempunyai 30 peratus risiko jangkitan berdasarkan data yang perolehi.
"Jadi, pendekatan kita dari pembendungan awal atau akhir adalah melakukan pengesanan aktif terhadap PUI, simptom atau bergejala dan kontak rapat," katanya.
Terdahulu beliau ditanya adakah akan membuat ujian saringan terhadap kesemua rakyat di negara ini bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.
"Di Korea Selatan juga mereka tidak lakukan saringan terhadap semua penduduknya tetapi melakukan ujian terhadap sasaran," katanya.