KKM harap Wisma Putra, kedutaan runding dapatkan kit ujian antigen

Iklan
Kit ujian antigen - Foto: Internet

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap Wisma Putra dan pihak kedutaan membantu kementerian melakukan rundingan untuk memperoleh kit ujian pantas antigen koronavirus (Covid-19) dari Korea Selatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sepatutnya kit ujian antigen itu sudah diperoleh minggu ini, namun dijangka akan tiba selewat-lewatnya minggu hadapan berikutan permintaan tinggi seluruh dunia.

Iklan
Iklan

"Kita harap Wisma Putra dan pihak kedutaan dapat membantu kami untuk mendapatkan kit ujian itu secepat mungkin dan perolehan akan dilakukan menerusi mekanisme kerajaan kepada kerajaan (G2G)," katanya pada sidang akhbar perkembangan Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, kit ujian tersebut sangat diperlukan bagi membolehkan saringan dilakukan hanya di klinik, lapangan dan komuniti kerana keputusan boleh diperoleh dalam tempoh 30 hingga 45 minit sahaja.

Iklan

Beliau berkata, pihaknya juga telah memulakan projek 'mobile biosafety cabinet' bagi menempatkan kit ujian tersebut ketika membuat saringan di lapangan.

"Contohnya sekarang kita laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pasar Borong Kuala Lumpur, jadi kita boleh letakkan makmal mudah alih di sana dan lakukan ujian di lapangan," katanya.

Iklan

Minggu lalu, Dr Noor Hisham berkata, sampel ujian Covid-19 tidak perlu lagi dihantar ke makmal selepas (KKM) memutuskan untuk menggunakan kit ujian pengesanan antigen.

Kit pengesan antigen itu mempunyai ketepatan 100 peratus, manakala sensitiviti pada kadar 84.4 peratus.