IPOH - Kerajaan Perak menerima laporan tiga gelandangan melarikan diri dari Pusat Penempatan Gelandangan (PPG) di Arena Badminton Perak di sini semalam.
Tiga gelandangan lelaki itu disyaki meloloskan diri dengan memanjat keluar dari bahagian tingkap tandas pusat berkenaan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sehingga kini ketiga-tiga mereka masih belum dapat dikesan.
"Siasatan dan laporan polis telahpun dibuat, bukan satu tetapi tiga gelandangan telah loloskan diri dan kita syaki mereka sebenarnya terlibat dalam aktiviti penagihan dadah," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke pusat penempatan itu hari ini.
Menurutnya, usaha mengesan gelandangan berkenaan telah dilakukan sebelum tindakan selanjutnya diambil.
"Jika didapati mereka ini penagih, maka tindakan seharusnya dilakukan adalah kita bantu hilangkan ketagihan itu dengan menempatkan mereka seperti di pusat pemulihan.
"Sekiranya perlukan bantuan kesihatan, maka kita tempatkan pula mereka di hospital," katanya.
Setakat ini, seramai 77 gelandangan termasuk tiga wanita berusia lingkungan 21 hingga 60 tahun ditempatkan di PPG Arena Badminton Perak sejak ia dibuka Sabtu lalu.
Selain Ipoh, sebuah lagi PPG dibuka di Taiping bagi menempatkan gelandangan bagi daerah Larut Matang dan Selama (LMS).
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, pihaknya memberi jaminan kebajikan gelandangan di PPG dijaga sebaiknya bagi memastikan tiada sebarang tekanan dihadapi sehingga mengambil keputusan untuk melarikan diri.
Katanya, ada kalangan mereka yang ditempatkan di PPG hadir selepas dipujuk, tetapi ramai juga yang datang secara sukarela demi untuk dapatkan perlindungan.
"Makanan disediakan lima kali sehari, bantuan pakaian dan pembersihan diri, malah hiburan melalui tayangan filem juga kita berikan, semua ini untuk pastikan mereka dalam keadaan baik," katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri sedang berusaha menyediakan pelan tindakan susulan untuk menjamin kelangsungan hidup kumpulan itu seperti menyediakan latihan kepada mereka yang berkemahiran dan peluang pekerjaan sehingga mereka mampu mendapatkan tempat tinggal sendiri.
"Saya kira tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini adalah masa terbaik untuk kita audit golongan gelandangan yang ada supaya dapat diberikan bantuan bersesuaian.
"Sekarang ini ada sebahagian jadi gelandangan kerana lari dari rumah, berpisah dengan pasangan dan ada juga sebenarnya memiliki rumah, tetapi hanya gemar berkeliaran kerana tiada pekerjaan, semua ini akan kita teliti selepas tamat PKP nanti," katanya.