PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) akan berbincang dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi mengenal pasti kaedah terbaik yang wajar dilakukan oleh anak-anak kapal yang pulang dari luar negara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah yang perlu diambil oleh pihak terlibat bergantung kepada aktiviti semasa penerbangan.
Bagaimanapun menurutnya, pada masa ini anak-anak kapal yang terlibat dengan pelayaran mewah sememangnya akan dikuarantin selama dua minggu sebagaimana biasa.
"Anak-anak kapal kita punya SOP (prosedur operasi standard). Kalau kapal Cruise, kapal layar dan sebagainya memang tetap kita pastikan kita kuarantin untuk 14 hari tetapi kalau penerbangan, kita lihat pada anak kapal itu sama ada dia ada berhenti tempat tertentu.
"Kalau tak ada berhenti mungkin yang itu kita akan berbincang dengan Kementerian Pengangkutan melihat kepada aktiviti mereka sebelum kita benarkan mereka balik ke rumah atau cara kuarantin mereka," katanya pada sidang media perkembangan terkini koronavirus (Covid-19) di kementeriannya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab mengenai prosedur digunakan KKM terhadap anak-anak kapal yang pulang dari luar negara ekoran terdapat aduan mereka tidak diasingkan sebaliknya hanya diberi cuti rehat.
Ia berbeza dengan warganegara Malaysia lain yang akan dikuarantin selama 14 hari sejurus pulang dari luar negara.
Beliau dalam masa sama berkata, setakat ini tiada anak kapal yang dikenal pasti positif wabak Covid-19.