ANKARA - TURKI. Pihak pendakwa Turki dilaporkan mengeluarkan waran tangkap antarabangsa kepada seorang pemain bola keranjang New York Knicks, Enes Kanter.
Laporan media Turki menyebut, Kanter, 26, dituduh mempunyai kaitan dengan kumpulan bersenjata yang terlibat dalam rampasan kuasa yang gagal pada 2016.
Pemain posisi tengah yang menggambarkan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sebagai 'diktator' itu bagaimanapun menafikan dakwaan terbabit.
Terdahulu, Kanter enggan menyertai perlawanan kelab National Basketball Association (NBA) di London pada 17 Januari lalu kerana bimbang kehadiran pengintip Turki.
"Ada kemungkinan saya boleh terbunuh di sana," katanya yang mendapat 'green card' untuk menetap di Amerika Syarikat (AS) setelah pasport Turkinya dibatalkan pada 2017.
Sementara itu, dalam sebuah 'posting' di Facebook, Kanter berkata, kerajaan Turki tidak dapat mengemukakan sebarang bukti berhubung 'kesalahannya'.
"Saya tidak pernah dikenakan saman parkir di AS, saya adalah penduduk yang mematuhi undang-undang," tambahnya lagi.
Waran tangkap turut dikeluarkan pada Jun tahun lalu terhadap bapanya, Mehmet. Profesor universiti berkenaan dituduh menghubungi anggota persatuan yang diharamkan.
Lebih 50,000 orang di seluruh Turki telah dipenjarakan oleh pihak berkuasa susulan rampasan kuasa yang gagal, tiga tahun lalu. - BBC