Ayah pimpin keluarga ke syurga

Iklan
Majlis Ayah dibawakan dari Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam secara langsung melalui FB Live di Sinar Harian dan TV Alhijrah sepanjang bulan Ramadan. (Gambar kecil: Marhaini Yusoff)

SHAH ALAM - Program selama satu jam berinteraksi bersama al-Quran, Tazkirah Ramadan Majlis Ayah, ‘Ayah Pemimpin Masuk Syurga Sekeluarga’ bakal bersiaran pada 1 Ramadan selama sebulan.

Program itu dijangka membuka peluang kepada individu bergelar bapa sebagai insan yang paling signifikan di dalam memacu tahap pendidikan anak-anak dan berkeupayaan untuk memimpin keluarganya masuk ke syurga.

Iklan
Iklan

Justeru, melalui My Family #QuranHour, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mendapati besarnya peranan bapa dalam memimpin keluarganya berikutan terdapat 17 kali dialog di dalam sembilan surah di antara ibu bapa dan anak, 14 kali antara bapa dan anak, dua kali antara ibu dan anak dan satu kali tidak dinyatakan antara anak dengan ibu atau bapa.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, Ramadan tahun ini sememangnya menjadi detik yang sangat berharga bagi seorang bapa kerana dapat memimpin keluarganya bersolat tarawih dan melakukan ibadah yang lain di rumah.

Iklan

"Ramadan kali ini menjadi momentum besar untuk sinergi ini membawakan Tazkirah Ramadan Majlis Ayah, ‘Ayah Pemimpin Masuk Syurga Sekeluarga’ untuk membina para ayah dalam cabaran Covid-19, di mana solat lima waktu serta tarawih perlu dilakukan di rumah.

"Program ini akan dibawakan dari Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam secara langsung melalui FB Live di Sinar Harian dan TV Alhijrah pada jam 6 hingga 7 petang setiap hari sepanjang sebulan Ramadan,” katanya kepada di sini semalam.

Iklan

Marhaini berkata, antara pengisian menarik Majlis Ayah itu ialah pada sesi satu Ramadan akan dimulakan dengan kaedah membina perancangan bersama para bapa.

"Yang kedua sesi baca dan tadabbur ayat-ayat al-Quran bersama qari pilihan dan pentadabbur, ketiga sesi dengarkan pesan ayah, pesan pakar dan pesan ulamak buat para ayah.

"Selain itu, turut diselitkan panduan dan solusi daripada al-Quran untuk pelbagai cabaran yang dihadapi golongan bapa,” katanya.

Menurutnya, terdapat 14 komunikasi antara bapa dan anak di dalam al-Quran daripada 17 komunikasi ibu bapa dan anak dan pesanan itu perlu dihayati oleh golongan bapa.

"Ada satu lagi sesi berbentuk Call to Action buat para ayah dan doa bersama.

"Semoga negara ini terbina dengan para ayah atau bapa dengan minda yang diset dengan al-Quran, memimpin keluarga, isteri dan anak-anak untuk masuk syurga sekeluarga,” katanya.