RIYADH - Hampir dua bilion umat Islam termasuk di seluruh rantau Asia Barat yang sedang berdepan langkah lockdown bersiap sedia untuk menjalani ibadat puasa yang agak muram pada tahun ini di tengah-tengah ancaman koronavirus (Covid-19) yang semakin meningkat.
Penularan wabak itu dengan cepat telah memberi kesan kepada jutaan Muslim dari Arab Saudi dan Lubnan hingga zon konflik di Libya, Iraq dan Yemen.
Lebih menyedihkan, umat Islam tidak dapat mengerjakan amalan biasa pada bulan yang sepatutnya menjadi kelaziman kepada golongan itu untuk menggandakan amal ibadah dan kebajikan.
Hal ini tidak dapat dielakkan kerana kebanyakan masjid termasuk Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah melarang solat secara berjemaah dan tarawih sebagai langkah untuk memperlahankan penyebaran virus itu.
Pihak berkuasa agama di beberapa negara termasuk Mufti Besar Arab Saudi, Abdulaziz al-Sheikh turut memutuskan solat sepanjang Ramadan dan Syawal sebaiknya dilakukan di rumah.
"Hati kami menangis. Kami biasa melihat Masjidil Haram penuh sesak dengan para jemaah sepanjang waktu tidak kira siang atau malam. Saya rasa sedih melihat keadaan ini,” kata bilal di Masjidil Haram, Ali Mulla.
Sejak beberapa minggu lalu, kawasan sekitar Kaabah juga lengang tanpa kehadiran para jemaah yang biasa melakukan tawaf selepas kawasan itu ditutup untuk membendung pandemik Covid-19.
Selain itu, hasrat para jemaah untuk mengerjakan umrah pada bulan Ramadan kerana pahala yang berlipat ganda juga tidak kesampaian berikutan Arab Saudi melaksanakan penggantungan sementara visa umrah pada akhir Februari lalu.
Melihat kepada situasi sekarang, musim haji pada akhir Julai depan juga berkemungkinan terpaksa dibatalkan buat pertama kali dalam sejarah moden selepas Riyadh meminta bakal-bakal jemaah haji menangguhkan persiapan mereka.
Ramadan luar biasa
Mufti Besar Baitulmaqdis dan Wilayah Palestin, Muhammad Hussein turut mengumumkan larangan sama sepanjang Ramadan.
Larangan itu selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menggesa semua negara terjejas supaya melarang orang ramai berkumpul dalam jumlah yang ramai untuk aktiviti berkaitan Ramadan seperti jual beli di pasar dan kedai.
Keputusan itu turut memberi kesan kepada persediaan untuk menyambut kedatangan Ramadan berikutan kebanyakan orang Islam memperuntukkan wang mereka untuk membeli topeng muka dan alat perlindungan lain.
"Saya ada membuat simpanan untuk beli-belah ketika Ramadan. Tetapi, wang itu telah saya belanjakan untuk membeli barang keperluan bagi tempoh kuarantin dan melindungi diri daripada wabak itu,” kata Younes, 51, yang bekerja di sebuah kedai pakaian di Damsyik.
Minggu lalu, operasi perniagaan di Iran telah dibuka semula walaupun negara itu adalah yang paling teruk terjejas di rantau Asia Barat dengan merekodkan lebih 85,996 jangkitan dan 5,391 kematian.
Ancaman yang masih belum reda menyebabkan Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei menggesa penduduk negara itu supaya menunaikan solat di rumah masing-masing sepanjang Ramadan.
Di Mesir, keadaan agak berbeza di mana lorong sempit di Kaherah dan pasar di sekitar ibu negara dihiasi dekorasi tradisional Ramadan termasuk tanglung berwarna-warni digelar fawanees.
Hiasan itu biasanya menghiasi restoran dan kafe, namun penutupan operasi premis terbabit akibat wabak Covid-19 menyebabkan suasana sepi menyambut ketibaan bulan suci pada kali ini. - AFP