SETELAH sebulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bertujuan meratakan lengkungan pandemik Covid-19 di negara ini, kanak-kanak boleh dikatakan golongan paling terkesan dari segi mental berbanding orang dewasa kerana terpaksa berkurung di dalam rumah sepanjang masa.
Keadaan menjadi lebih buruk jika keluarga mereka tinggal di rumah flat yang sempit bersama adik-beradik yang ramai. Kediaman yang tiada ruang dan halaman ini memungkinkan mereka terdedah kepada impak psikologi yang boleh membawa kepada kemurungan.
Lebih parah lagi, kanak-kanak ini juga cenderung menjadi mangsa dera jika ibu bapa mereka turut tertekan akibat masalah kewangan disebabkan tidak dapat bekerja sepanjang PKP dikuat kuasa. Sebaliknya, orang dewasa khususnya ketua keluarga sekurang-kurangnya masih boleh keluar rumah, misalnya, ke pasar raya untuk membeli barang keperluan.
Tanpa menidakkan kepentingan PKP, kanak-kanak yang masih bersekolah rendah atau awal sekolah menengah sebenarnya sedang melalui perubahan besar dalam rutin harian mereka yang selama ini bebas bermain dan belajar bersama-sama rakan.
Pakar-pakar berpendapat pada peringkat umur membesar tersebut, kanak-kanak memerlukan rangsangan persekitaran yang positif seperti bermain dengan kawan-kawan kerana ia merupakan cara mereka belajar bersosial dengan orang lain.
Namun, disebabkan mereka kini tidak boleh bermain di luar rumah bersama rakan-rakan, proses pembelajaran dan tumbesaran mereka seolah-olah terbantut.
Justeru, ibu bapa harus bijak merancang aktiviti di rumah sama ada secara harian atau mingguan bagi mengisi masa dengan kegiatan berfaedah sekali gus memberi kesan positif kepada minda anak-anak. Ibu bapa juga boleh menerangkan mengapa mereka perlu duduk di rumah di samping memberitahu mereka supaya jangan cemas dan bimbang.
Pengurusan aktiviti harian yang betul di rumah sepanjang tempoh PKP mampu mengurangkan kesan negatif ke atas kesihatan mental anak-anak.