Bayi derita pelbagai penyakit sejak lahir

Iklan
Norul Hafizah menunjukkan beg najis yang perlu dipasang pada perut bayinya.

TEMERLOH -"Sudah kering air mata, namun kini saya reda dengan nasib yang menimpa anak," luah Norul Hafizah Mubin, 36, dari Kampung Raja di sini apabila anak bongsunya menghidap pelbagai komplikasi penyakit sejak lahir.

Norul Hafizah berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu, Badriyyah Nur Syifa Rahmat yang berusia tujuh bulan mengalami kerosakan pada buah pinggang kanan selain jantung berlubang dan tiada rahim.

Iklan
Iklan

Katanya, dia dan suami, Rahmat Mat Hassan, 61, reda dengan ujian yang menimpa anak mereka yang turut dilahirkan tidak cukup bulan ketika berusia 32 minggu.

"Pada mulanya memang saya sangat 'down' dan suka menyendiri selain sedih mengenangkan nasib anak ini.

Iklan

"Namun semangat saya kembali pulih selepas sertai grup 'Baby Premature Malaysia' sejak September lalu. Dari situ saya belajar dan reda dengan ujian diberikan ALLAH SWT," katanya kepada Sinar Harian.

Norul Hafizah berkata, bayinya itu baru dua bulan dibawa pulang ke rumah selepas dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan sejak berusia dua hari.

Iklan
Badriyyah Nur Syifa

Katanya, keadaan kesihatan Badriyyah Nur Syifa membuatkan dia perlu menukar beg najis yang dipasang pada perut setiap tiga hari sekali yang memerlukan kos kira-kira RM280 sebulan.

"Buat masa ini tarikh pembedahan dan kosnya masih belum diketahui dan sedang menunggu keputusan bila temu janji seterusnya pada Ogos untuk buah pinggang dan usus pada awal Mei nanti.

"Saya pun tidak dapat bekerja kerana perlu berikan perhatian sepenuhnya pada anak selain suami hanya bekerja kampung," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, pihak JKM telah memberi bantuan awal sebanyak RM300 kepada keluarga tersebut.

"Pihak JKM akan menguruskan proses bantuan bulanan pesakit kronik atas nama anak bongsunya sebanyak RM350 sebulan," katanya.

Bagi mereka yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), 0640041000091006 atas nama Norul Hafizah Mubin atau menghubunginya di talian 010-247 2352.