Tempah durian anda secara dalam talian

Iklan
Pengusaha durian serta pemborong utama dibenarkan menjual secara dalam talian serta menghantar buah itu kepada pelanggan dengan 20 penjual telah memulakan penjualan secara dalam talian melalui pelbagai platform media sosial. FOTO: 123rf

BALIK PULAU - Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memperuntukkan 254 lot gerai di sembilan pasar basah di pulau itu untuk penjualan durian kerana dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pembeli tidak dibenarkan pergi ke dusun di Balik Pulau, Teluk Bahang, Gertak Sanggul atau Batu Maung untuk membeli raja buah itu.

Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang berkata, terdapat lebih kurang 200 dusun durian di pulau itu serta enam pemborong utama dan mereka juga dibenarkan menjual secara dalam talian serta menghantar buah itu kepada pelanggan dengan 20 penjual telah memulakan penjualan secara dalam talian melalui pelbagai platform media sosial.

Iklan
Iklan

"Mereka boleh mengemukakan permohonan menjalankan perniagaan di gerai pasar dengan MBPP iaitu ia adalah inisiatif Perniagaan dari Dusun (BFF) dan mereka akan dibenarkan memasarkan buah itu di pasar dengan waktu operasi mengikut waktu yang ditetapkan semasa PKP.

"Sewa bagi setiap gerai ialah RM7 sehari atau RM200 sebulan untuk bayaran kutipan sampah, bil elektrik dan air,” katanya kepada pemberita selepas melawat Karuna Hill, kebun durian organik di sini semalam.

Iklan

Beliau berkata, pendaftaran untuk menyewa gerai di pasar bermula hari ini dari jam 12 tengah hari hingga 12 malam pada 28 April dan sekiranya MBPP menerima lebih 254 permohonan, undian akan dijalankan.

Sementara itu, pemilik Karuna Hill, Carl Michael Valenti berkata, beliau tidak merancang untuk menjual duriannya secara dalam talian kerana dia perlu menguruskan penghantaran buah itu dari dusun kepada pembeli.

Iklan

Beliau yang mempunyai lebih 200 pokok durian berkata, biasanya pada musim durian, dia akan memperoleh sekitar 8,000 biji durian dan ia akan diserahkan kepada pemborong di sini untuk diedarkan kepada penjual.

Musim durian di Balik Pulau biasanya bermula pada Mei untuk tempoh sekitar tiga bulan dan memandangkan pelaksanaan PKP, penjual terpaksa mencari alternatif lain untuk memasarkan hasil mereka. - Bernama