Nufam gesa KKM tingkat saringan kru penerbangan

Iklan
Nufam menggesa pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mempertingkatkan pemantauan ke atas pekerja syarikat penerbangan.

SHAH ALAM - Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) menggesa pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mempertingkatkan pemantauan ke atas pekerja syarikat penerbangan.

Menurutnya, gesaan itu dibuat apabila pihaknya menerima banyak panggilan berhubung kebimbangan saringan terhadap kru penerbangan.

Iklan
Iklan

"Kru penerbangan hanya disaring selama 72 jam dan jangka masa ini sama sekali tidak mencukupi jika dilihat kepada standard prosedur KKM.

"Jadi kita tidak boleh ambil sikap mudah atau jalan cepat kerana isu ini adalah serius dan melibatkan nyawa pekerja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Sehubungan itu, Nufam turut meminta pihak KKM menyelidik setiap kes dan aduan yang telah dihantar kepada mereka.

Katanya, selain itu Nufam juga telah menghantar surat kepada Kementerian Pengangkutan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM memohon agar dapat memastikan bahawa semua syarikat penerbangan mematuhi langkah saringan koronavirus (Covid-19) buat pekerja mereka.

Iklan

"Pekerja pekerja ini juga harus mengambil ujian dan saringan sebelum mereka kembali bekerja selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan bagi memastikan mereka tidak mempunyai apa apa gejala.

"KKM juga perlu menyiasat berhubung aduan yang diterima mengenai peralatan perlindungan diri (PPE) yang tidak dibekalkan,” katanya.

Dalam pada itu, Nufam turut memaklumkan bahawa pihaknya juga telah mengemukakan beberapa cadangan kepada Kementerian Pengangkutan dan berharap langkah- langkah yang dicadangkan itu diambil secara serius.

Katanya, mana- mana syarikat penerbangan tidak boleh mengambil jalan mudah untuk beroperasi dalam skala biasa kerana penularan wabak Covid-19 masih belum tamat dan isu keselamatan pekerja tidak boleh dikompromi.

"Jarak satu meter antara pekerja di tempat kerja dan tempat duduk penumpang di dalam pesawat juga harus diambil berat.

"Seperti mana dimaklumkan, beberapa syarikat penerbangan telah beroperasi dengan penuh padat dan ini amatlah mengejutkan pihak kami kerana ia sama sekali tidak mengikut langkah langkah yang telah dikeluarkan oleh KKM dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” jelasnya.