GOPENG - Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya melanggar lori bermuatan kekacang di KM294.8 Lebuh Raya Utara- Selatan arah selatan, hari ini.
Mangsa, Nur Azwan Abu Bakar, 29, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan berikutan parah pada kepala.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, siasatan awal mendapati nahas jam 12.25 tengah malam itu berlaku ketika lori berkenaan dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Sungai Buloh.
"Semasa lori memandu di lorong kiri, tiba-tiba kereta yang dipandu mangsa telah melanggar bahagian belakang kenderaan berat itu.
"Mangsa tersepit dan khidmat bomba dipanggil bagi membantu mengeluarkannya,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat
"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan ‘basal skull fracture’.
"Pemandu lori dan kelindannya berusia 42 dan 37 tahun pula tidak mengalami kecederaan.
"Bagaimanapun, kenderaan yang terlibat dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar untuk pemeriksaan Puspakom,” katanya.
Hasron Nazri berkata, Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.