PUTRAJAYA – Kerajaan mengumumkan bahawa waktu operasi perniagaan sepanjang Ramadan masih mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedia ada.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun, bagi operasi pengangkutan awam, kerajaan menambah masa operasi lebih satu jam iaitu jam 4 petang sehingga 10 malam berbanding bermula jam 5 petang sebelum ini.
Iklan
Iklan
"Kebiasaannya pada bulan Ramadan, kakitangan awam dibenarkan untuk pulang awam daripada waktu biasa, sebab itu kita awal dan tambahkan satu jam.
"Begitu juga dengan pasar kerana orang ramai mahu membeli barangan basah untuk berbuka dan sahur. Kalau dahulu pasar tutup jam 12 tengah hari, tetapi untuk bulan Ramadan mereka boleh beroperasi sehingga jam 2 petang. Ini bagi memudahkan rakyat mendapatkan bekalan makanan,” katanya pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.
Pada pelaksanaan PKP kedua sebelum ini, kerajaan mengekalkan waktu operasi perkhidmatan pengangkutan awam antara jam 6 pagi hingga 10 pagi dan 5 petang hingga 10 malam.
Ditanya mengenai operasi restoran dan kedai makan, beliau berkata, kerajaan masih mengekalkan SOP lama.
"Kita cuba mengurangkan pergerakan di seluruh negara kerana bila berlaku terlalu banyak pergerakan, ia akan menyebabkan pematuhan terhadap PKP tidak berjaya,” katanya.