PUTRAJAYA – Trend penurunan jumlah tangkapan terhadap individu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi tempoh tiga hari kebelakangan ini menunjukkan bahawa wujud kesedaran yang tinggi terhadap pematuhan perintah itu dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham setiap kali sidang medianya bahawa jumlah penurunan positif koronavirus (Covid-19) bergantung kepada pematuhan rakyat terhadap PKP dan dengan cara tersebut kita boleh memutuskan rantaian virus itu.
"Selain peranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan jumlah positif Covid-19 ini turun, kita ingin mengucapkan terima kasih kepada anggota keselamatan seperti PDRM (Polis Diraja Malaysia), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan semua yang terlibat.
"Peranan mereka cukup besar dalam memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan dengan mengawal pergerakan rakyat dan hasilnya kita dapat lihat hari ini dengan penurunan jumlah positif Covid-19,” katanya pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.
Beliau berkata, PDRM dan ATM telah mengadakan sebanyak 835 sekatan jalan raya di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 581,942 kenderaan semalam.
"Sebanyak 41,184 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dengan sebanyak 6,658 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa.
"PDRM telah menangkap 763 individu berbanding 865 individu hari sebelumnya kerana ingkar PKP. Daripada jumlah tersebut, seramai 648 individu direman dan 115 individu dijamin polis,” katanya.
Menurutnya, semalam, seramai 860 individu turut dituduh di mahkamah kerana melanggar PKP.
"Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga 22 April ialah sebanyak 18,498 individu,” katanya.