Ops Sumber Air berjaya elak dua insiden pencemaran

Iklan
Keadaan air berwarna hijau di saliran kawasan Perindustrian Hi-Tech 6 yang berjaya dikesan pasukan operasi.

SHAH ALAM - Ops Sumber Air dan pemantauan 24 jam melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkuasa sejak 17 April lalu, berjaya mengelakkan dua insiden pencemaran di Lembangan Sungai Langat.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, tindakan pantas diambil juga berjaya mengelakkan henti tugas loji pembersihan air (LPA).

Iklan
Iklan

Menurutnya, Ops Sumber Air dilaksanakan hingga 31 Mei ini dilihat mampu mengurangkan risiko sekaligus menangani pencemaran sebelum menjadi lebih teruk dan menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna.

"Pada 19 April lalu, pasukan operasi Pengurusan Air Selangor mengenal pasti peningkatan kekeruhan dan parameter ammonia di Sungai Pajam yang disyaki berpunca dari kolam ikan berhampiran.

Iklan

"Semakan mendapati lokasi terlibat terletak di Negeri Sembilan. Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berhubung dengan pihak Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan (BKSA N9) dan tindakan segera mitigasi diambil,” katanya.

Beliau berkata, pada tarikh yang sama juga pasukan operasi mengenal pasti keadaan air berwarna hijau di saliran kawasan Perindustrian Hi- Tech 6 sebelum memasuki Sungai Semenyih.

Iklan

Menurutnya, siasatan dijalankan mendapati ia disyaki berpunca daripada sebuah kilang percetakan terletak di Jalan Sungai Lalang, Semenyih yang tidak menguruskan buangan terjadual mengikut prosedur ditetapkan.

"Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil tindakan segera menghentikan operasi premis dan menyita beberapa alatan premis termasuk mesin kompresor dan mesin cetak.

"Pensampelan turut diambil untuk dianalisa oleh Jabatan Kimia Malaysia (JKM),” katanya.

Tambahnya, kerajaan Selangor sentiasa komited memastikan kelangsungan sumber air di negeri ini dan menggesa semua pihak prihatin terhadap kawasan sensitif sumber air negeri terutamanya sungai.

"Laporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air agar insiden pencemaran tersebut tidak berulang,” katanya lagi.