BACHOK - Angkara menegur sepupunya yang memegang sebilah pedang di dalam rumah, seorang petani cedera ditetak di leher di Kampung Beris Lalang di sini Selasa lalu.
Kejadian pada jam 8.30 malam itu menyebabkan mangsa berusia 22 tahun menerima sembilan jahitan akibat cedera di leher.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Samsulmuddin Sulaiman berkata, suspek sebelum itu datang ke rumah mangsa di Kampung Air Tawar Semerak, Pasir Puteh dan mengajak mangsa ke rumahnya di Beris Lalang, Bachok.
Menurutnya, ketika sampai di rumah suspek, mangsa berehat di ruang tamu sebelum melihat lelaki tersebut memegang sebilah pedang.
"Mangsa menegur perbuatan itu namun suspek marah lalu melibas ke arah mangsa tetapi dapat dielak dan cuba melarikan diri.
"Berlaku pergelutan antara mereka dan mangsa ditetak di tepi leher sebelah kanan sebelum mangsa terus berlari keluar dari rumah tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau berkata, mangsa memaklumkan tidak mengetahui punca sebenar kejadian dan pihaknya kini sedang mencari suspek berusia 20-an yang melarikan diri selepas kejadian itu.