PUTRAJAYA – Sebanyak 201 pusat kuarantin telah beroperasi hari ini berbanding 196 pada hari sebelumnya.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 15,880 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.
"Semalam, seramai 535 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan telah dikuarantin wajib.
"Seramai 16,416 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib sejak 3 April lalu. Sejak 17 April, 4,908 individu telah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang,” katanya pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.
Mengulas mengenai Operasi Sanitasi Awam Covid-19 di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), beliau berkata, sejak 30 Mac lalu sebanyak 3,585 operasi sanitasi di 113 zon termasuk di 30 zon merah telah dilaksanakan.
"Semalam, sebanyak 253 operasi sanitasi meliputi 79 zon di 13 negeri termasuk 39 kawasan di Johor dan 26 kawasan di Perak.
Operasi sanitasi semalam merangkumi 181 bangunan kerajaan, 158 tempat awam, 103 pusat perniagaan dan 16 pasar raya.
"Secara keseluruhan sebanyak 2,423 bangunan kerajaan, 1,498 tempat awam, 1,590 pusat perniagaan, 248 pasar raya dan 1,205 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) telah disanitasi,” katanya.