IPOH - Polis menafikan penemuan mayat seorang lelaki di sebuah rumah di Jalan Intan, Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 3, Manjoi di sini semalam dikaitkan dengan wabak koronavirus (Covid-19).
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, keputusan ujian menunjukkan mangsa berusia 44 tahun itu adalah negatif Covid-19.
"Hasil siasatan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mengesahkan kematian mangsa berpunca akibat serangan jantung.
"Dalam kejadian sekitar jam 1.30 petang itu, mangsa ditemui oleh adiknya yang datang menziarahi dan bantuan bomba dipanggil bagi membuka pintu yang berkunci," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
A Asmadi berkata, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang menyebar berita yang tidak berasas hingga boleh menimbulkan kegusaran awam.
"Menjadi prosedur operasi standard (SOP) tambahan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) bagi tugas-tugas jumpa mayat sebagai langkah awal pencegahan Covid-19.
"Perasaan keluarga si mati seharusnya dijaga terutama ianya adalah berita yang menggusarkan," katanya.
Satu mesej tular di laman sosial kononnya seorang lelaki disyaki pesakit Covid-19 ditemui meninggal dunia tiga hari lalu.
Turut dinyatakan menemui surat yang mengesahkan mangsa merupakan positif wabak itu.