Pengurusan kes sita barang Najib, Rosmah 4 Mei ini

Iklan
Sebahagian barangan yang disita sebuah kediaman Najib dan Rosmah pada 18 Mei dua tahun lalu.

KUALA LUMPUR - Pihak berkaitan dalam kes melibatkan rampasan barangan yang dikemukakan kerajaan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, keluarganya dan beberapa yang lain dijadualkan bertemu Hakim Mahkamah Tinggi bulan depan.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Catherine Nicholas berkata, Hakim Mohamed Zaini Mazlan sebelum ini menetapkan 23 Mac untuk pengurusan kes, namun tarikh berkenaan dilapangkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

Iklan
Iklan

"Oleh itu, Mahkamah Tinggi menetapkan 4 Mei untuk pengurusan kes utama,” katanya ketika dihubungi bagi mendapatkan perkembangan terkini kes tersebut.

Pada 7 Mei, 2019, kerajaan melalui pihak pendakwaan menfailkan notis usul berhubung pelucutan hak terhadap ratusan barangan termasuk beg tangan pelbagai jenama, jam tangan, beberapa hartanah, aset dan 27 buah kenderaan yang dirampas daripada Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, tiga anak mereka dan 13 individu serta syarikat.

Iklan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas barangan berkenaan pada 17 Mei, 11 Jun dan 2 Ogos 2018, yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 3 Februari lalu, Mohamed Zaini membenarkan permohonan oleh Najib, Rosmah dan anak perempuan mereka, Nooryana Najwa, memeriksa secara fizikal barang yang disimpan di peti besi di Bank Negara Malaysia (BNM).

Iklan

Mohamed Zaini memerintahkan pendakwa raya membenarkan Najib dan ahli keluarganya memeriksa secara fizikal barang berkenaan dan memutuskan bahawa mereka perlu diberi peluang untuk memeriksa barang yang dirampas itu.

Pada 22 Februari lalu, mereka ke BNM dan melakukan pemeriksaan berkenaan lebih tiga jam.

ARTIKEL BERKAITAN: Najib, Rosmah lebih 3 jam di Bank Negara

Najib menfailkan notis usul pada 18 Julai 2019 atas alasan sebahagian daripada kandungan kotak-kotak, beg serta bekas simpanan yang menjadi sebahagian daripada harta alih yang dirampas telah dikeluarkan daripada bungkusan asalnya dan ia menyebabkan kekeliruan bagi membuat pengecaman terhadap harta alih berkenaan.

Rosmah dan Nooryana Najwa pula mengemukakan permohonan sama pada 19 Julai bagi mendapatkan butiran lengkap dan memeriksa barangan yang disita.

Antara barangan yang dinyatakan dalam kedua-dua notis tersebut ialah 315 beg tangan pelbagai jenama, 14 utas jam tangan dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta wang tunai pelbagai mata wang asing antaranya wang tunai RM537,000, Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750 dan Pound Sterling 320,500. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Najib, Rosmah, anak fail notis periksa barang sita

Kerajaan fail saman lucut hak harta Najib, Rosmah RM711 juta

Perbicaraan kes saman barang kemas Rosmah ditangguh

Kes lucut hak harta Najib, Rosmah didengar 11 Mac

Najib, Rosmah dibenar periksa barang disita