Kes baharu Covid-19 Kedah bukan jangkitan lokal

Iklan
Dr Mohd Fikri Ujang

ALOR SETAR - Pertambahan satu kes baharu wabak koronavirus (Covid-19) di Kedah yang direkodkan semalam bukan jangkitan lokal.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, kes terbabit melibatkan jangkitan dari luar iaitu dari negara Thailand yang dikesan di pintu sempadan Bukit Kayu Hitam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sejak 16 April lalu, tiada kes penularan setempat di negeri ini.

"Kes terbaharu semalam membabitkan seorang pengembara wanita yang masuk secara berkumpulan untuk pulang ke Malaysia, hanya dia positif Covid-19 setelah disaring di Bukit Kayu Hitam," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Iklan

Dr Mohd Fikri berkata, pesakit itu bukan penduduk negeri ini dan pergi bercuti di Thailand sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

"Sejak 1 April hingga sekarang, kesemua 218 pengembara rakyat Malaysia yang masuk melalui Bukit Kayu Hitam disaring dan dikuarantin, hanya seorang positif Covid-19," katanya.

Iklan
Statistik kes Covid-19 di Kedah.

Beliau turut menafikan berita tular konon kes terbaharu itu melibatkan orang kenamaan dan kemungkinan disalah erti susulan kemasukan mereka diiringi polis untuk dibawa ke pusat kuarantin.

"Semua yang masuk dari pintu sempadan dikuarantin, mereka dibawa dengan trak Angkatan Pertahanan Awam (APM) atau kenderaan sendiri dari Bukit Kayu Hitam ke hotel diiringi polis, mungkin dilihat umpama VIP, namun itu prosedur biasa berlandaskan prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Dr Mohd Fikri berkata, lebih 200 yang dibawa masuk dari Thailand selaras dengan kebenaran oleh kerajaan dan hanya melibatkan rakyat Malaysia.

"Setiap trak hanya membawa enam orang, konvoi itu terus membawa mereka ke hotel untuk dikuarantin selama 14 hari. Kami sentiasa ikuti prosedur untuk elak jangkitan," katanya.

Menurutnya, petugas Kesihatan memberi layanan sama rata dan mengikut SOP dalam memastikan keselamatan pengembara dan petugas, antaranya menggunakan PPE bersesuaian, penjarakan sosial dan penggunaan cecair pencuci tangan dan topeng muka, termasuk ketika proses penghantaran dari Bukit kayu Hitam ke Pusat Kuarantin.

Sementara itu, Dr Mohd Fikri menafikan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) ditutup seperti tular di media sosial.

"ICU di HSB masih beroperasi seperti biasa walaupun tiada pesakit memerlukan rawatan di ICU ketika ini. Masih terdapat lapan kes dirawat di wad biasa Covid-19," katanya.

Menurutnya, wad ICU akan terus dibuka sehingga wabak Covid-19 berakhir.

Semalam, Kedah merekodkan pertambahan satu kes baharu, menjadikan keseluruhan sebanyak 95 kes. Manakala tiada kes baharu pada hari ini.