Hujan lebat tapi tanah kubur kering

Iklan
Paparan Facebook Mr Wan Cai tular di laman sosial.

SHAH ALAM - Perkongsian seorang pengguna Facebook, Mr Wan Cai mengenai urusan pengebumian seorang mualaf di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini tular dan memberi keinsafan kepada masyarakat.

Mr Wan Cai yang memuat naik gambar serta status mengenai pengebumian Allahyarham Mohamad Najib Abdullah yang meninggal dunia pada pada 10 Februari lalu pada usia 39 tahun di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah Klang.

Iklan
Iklan

"Kuasa ALLAH SWT, biarpun tiada seorang waris kelihatan memberi penghormatan terakhir, ALLAH gantikan dengan perkara yang lebih baik untuk dilihat oleh kami semua.

"Sebenar kami tahu ALLAH menghantar kami untuk membantu arwah. ALLAH juga menghantar kami untuk menemani arwah hingga ke kubur menggantikan ahli keluarga asalnya," katanya.

Iklan

Wan Cai berkata, Pertubuhan Ukhwah Kebajikan Van Jelata (UKVJ) Selangor diminta membantu pihak hospital menguruskan pengebumian mayat tidak dituntut sejak tiga bulan lalu dan seramai lapan pembantu menguruskan jenazah tersebut.

"Empat lagi dari Shah Alam menunggu di tanah perkuburan bagi menyambut jenazah namun dua daripada mereka dari tempat kerja terpaksa meredah hujan dengan menunggang motosikal," katanya.

Iklan

Bagaimanapun katanya, ketika mengiring jenazah ke tanah perkuburan, secara tiba-tiba hujan berhenti dan tiada takungan air dalam liang lahad.

Jelas Mr Wan Cai, ketika hidupnya Allahyarham menjalani dugaan yang berat tetapi ALLAH gantikan dengan perkara yang lebih baik ketika kematiannya.

"Dua jam sahaja masa yang diperlukan untuk urus jenazah saudara baru kita ini. Dari mula kami ambil di bilik mayat hingga ke bilik wakaf untuk lalui proses mandi kafan dan solat.

"Sehinggalah arwah selamat dikebumikan. Pengurusan jenazah ini berjalan dengan cepat dan mudah. Segala urusan ALLAH mudahkan sebaik-baiknya," katanya.

Melihat perkara luar biasa itu, Mr Wan Cai, tertanya bagaimana pengakhiran jika takdir ajal menghampirinya.

"Sedih juga rasanya bila tiada seorang pun ahli keluarga yang mengambil tahu saat kita sudah mati dan bila lihat jenazah itu tadi keseorangan.

"Terbayang pula seolah-olah itu adalah jenazah saya sendiri.

"Perkongsian tentang apa yang saya sendiri lalui hari ini lebih kepada untuk muhasabahkan diri. Mungkin perkongsian saya ini boleh diambil sebagai iktibar untuk anda juga," katanya.

Mr Wan Cai juga sempat menitipkan pesanan kepada orang ramai tentang hala tuju kehidupan di dunia dengan memilih syurga atau neraka.

"Amalan kita di dunia menentukan hala tuju kita sama ada memilih untuk ke syurga atau ke neraka... elak melakukan yang mungkar kepada perkara diredai.

"Banyakkan membuat kebaikan selagi kita diberi peluang untuk bernafas di atas dunia. Tidak terlambat untuk kita membetulkan apa yang salah," katanya.

Posting itu mendapat 2,300 tanda suka dan rata-rata netizen mengucapkan terima kasih kepada UKVJ kerana membantu urusan pengebumian jenazah mualaf.

"Syukur alhamdulillah, sedih bila saya baca apa yang di tulis Mr Wan Cai, saya pun mualaf juga. Semoga arwah ditempat syurga beriman... Al-Fatihah," tulis Maya Kira.

"Innaliilahi wainnailaihi rojiun.. Semoga roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang beramal soleh. Alhamdulillah pengakhiran yang baik. Kita yang hidup belum tentu lagi pengakhiran kita," kata Maidatur Murni.