KOTA BHARU - Cuaca selepas hujan dan awan mendung sejak malam tadi menyukarkan proses cerapan anak bulan Ramadan yang dilakukan di Kelantan hari ini.
Bagaimanapun, ia tetap diteruskan oleh Ahli Jawatankuasa Cerapan Anak Bulan bermula pada jam 7.18 malam.
Pegawai Pengesah Cerapan, Norhasney Ridhwan Hassan berkata, proses cerapan dilakukan mengikut perhitungan falak bermula ketika matahari terbenam dan berakhir semasa bulan terbenam pada jam 7.35 malam.
"Ini bermakna hilal (anak bulan) akan berada di atas ufuk dalam satu tempoh 17 minit itu dan ketika itulah proses cerapan difokuskan sebaik mungkin.
"Cuma halangan pada hari ini adalah keadaan cuaca selepas hujan dan awan yang mendung menyukarkan kita untuk melihat anak bulan,” katanya ketika ditemui di menara bangunan Pusat Perbadanan Pembangunan Ekonomi (SEDC) di Jalan Tengku Putra Semerak di sini hari ini.
Beliau yang juga Hakim Mahkamah Tinggi Syariah turut diiringi Pegawai Falak Jabatan Mufti Kelantan, Wan Muhammad Ezani Wan Abdullah.
Norhasney Ridhwan berkata, proses itu dilakukan bersama lima ahli jawatankuasa terdiri daripada pegawai cerapan, pelapor, pengesah dan dua saksi menggunakan alat yang dinamakan theodolite.
"Lokasi ini satu-satunya dipilih untuk proses cerapan anak bulan Ramadan kali ini berbanding sebelum ini yang dilakukan di tiga lokasi termasuk di Bukit Peraksi, Pasir Puteh dan Bukit Kampung Tembeleng, Kuala Krai.
"Seperti yang diputuskan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Majlis Raja-raja menetapkan hanya satu lokasi dipilih untuk proses cerapan anak bulan di negeri ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Mengulas lanjut, anak bulan dianggap kelihatan apabila kiraan memenuhi salah satu syarat 2:3:8 iaitu pertama ketika matahari terbenam, ketinggian anak bulan berada di atas ufuk tidak kurang dua darjah, jarak lengkung bulan serta matahari tidak kurang daripada tiga darjah atau syarat ketika bulan terbenam, umur anak bulan tidak kurang daripada lapan jam.
"Sebaik proses cerapan selesai, laporan akan dipersembahkan kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Istana Balai Besar,” katanya.