KUALA LUMPUR -"Teruskan bersabar, kukuhkan iman dan taqwa dalam mengharungi Ramadan kali ini." Itu pesan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam perutusan sempena kedatangan Ramadan 1441 Hijrah kali ini.
Menurut beliau, buat pertama kalinya dalam sejarah, kedatangan bulan mulia yang dinanti-nantikan itu terpaksa disambut dalam suasana cukup luar biasa.
"'Tentera halus' Covid-19 telah merentap ratusan ribu nyawa dan menjarah kebebasan yang kita nikmati selama ini sehingga mewujudkan normal baharu yang bakal merubah kehidupan kita di masa hadapan.
"Kemunculan wabak maut ini benar-benar menguji kesabaran, ketakwaan serta keimanan kita sebagai hamba-NYA dalam mengenal erti pasrah dan reda akan ketentuan qada dan qadar," katanya
Kata Abdul Hamid, kehadiran Ramadan kali ini adalah satu anugerah yang harus dihayati selain menginsafi diri terhadap kekuasaan dan kebesaran Ilahi dengan memperbanyakkan amal ibadah serta memohon keampunan dan perlindungan-NYA.
"Sungguhpun musala kini terkunci dan tiada solat tarawih berjemaah seperti kebiasaannya, ia bukanlah penghalang kepada kita untuk menghidupkan Ramadan dengan menjadikan rumah sebagai maahad bagi merebut pahala dan ganjaran syurga," katanya.
Beliau turut berpesan kepada warga Polis Diraja Malaysia yang membarisi benteng pertahanan hadapan untuk yakin dengan keikhlasan menggalas tanggungjawab diamanahkan.
"Insya-ALLAH, setiap titisan keringat yang membasahi bumi di saat kita menjalankan tugas, adalah ibadah yang akan mendapat sebesar-besar ganjaran di hari muka.
"Sambutlah bulan penuh kemuliaan ini, dengan memperkuatkan azam dan membulatkan tekad, untuk memastikan rantaian penularan Covid-19 dapat diputuskan, agar kemenangan menjadi milik kita akhirnya," katanya.
Dalam masa masa, beliau turut berharap semua pihak menjaga kesihatan diri masing-masing dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan sewajarnya agar terhindar daripada wabak tersebut.
"Sama-samalah kita berdoa moga Ramadan yang penuh keberkatan ini membawa cahaya yang menjadi pengakhiran kepada wabak yang menghantui seluruh dunia ketika ini," katanya.