WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menerusi ciapannya di Twitter telah mengarahkan Angkatan Tentera Laut AS untuk menembak dan menghancurkan kapal perang Iran yang mengganggu kapal AS.
"Saya telah mengarahkan Angkatan Tentera Laut Amerika Syarikat untuk menembak jatuh dan menghancurkan mana-mana dan semua kapal perang Iran jika mereka mengganggu kapal kita di laut,” tulisnya pada ciapan berkenaan.
Menurut Al-Jazeera, Trump pada masa yang sama tidak menyebut mengenai peristiwa tertentu atau memberikan sebarang perincian mengenai ciapan tersebut.
"Kami tidak membiarkan mereka melakukannya. Kapal-kapal kami, kru hebat dan pelaut kami dalam bahaya.
"Kami akan menembak mereka keluar dari perairan itu," katanya semasa taklimat Rumah Putih.
Berikutan ciapan Trump, seorang jurucakap angkatan bersenjata Iran berkata, AS harus fokus menyelamatkan tenteranya daripada koronavirus (Covid-19).
"Hari ini, daripada membuli orang lain lebih baik AS berusaha sekuat tenaga untuk menyelamatkan anggota pasukan mereka yang dijangkiti Covid-19," jelas Abolfazl Shekarchi, menurut agensi berita ISNA separa rasmi Iran.
Komen Trump pada hari Rabu muncul kira-kira seminggu selepas 11 kapal dari Tentera Laut Pengawal Revolusi Iran mendekati kapal AS.