KUALA LUMPUR - Pengorbanan rakyat Malaysia memerangi penularan wabak koronavirus (Covid-19) dengan duduk di rumah sejak sebulan lepas telah mula membuahkan hasil antaranya jumlah kes positif baharu jangkitan itu berkurang dengan ketara.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, menerusi langkah-langkah pencegahan yang dikuatkuasakan kerajaan termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac, kini ia telah turun kepada puluhan kes sahaja berbanding ratusan kes baharu yang dilaporkan setiap hari pada awal PKP dilaksanakan.
Menyifatkan usaha memutuskan rantaian penularan koronavirus (Covid-19) satu jihad pengorbanan besar oleh seluruh rakyat Malaysia, beliau berkata, semua orang melalui satu tempoh yang banyak menguji kesabaran dan ketahanan.
Katanya, setiap orang menahan diri daripada melakukan aktiviti yang biasa dilakukan dan kini tidak lagi keluar berjalan-jalan, tidak makan di restoran, tidak bersukan serta beriadah di luar, sebaliknya duduk di rumah sahaja.
"Ini satu jihad dan pengorbanan yang besar tetapi pengorbanan yang anda lakukan ini telah membuahkan hasil.
"Pertamanya, anda dan keluarga terselamat daripada jangkitan Covid-19. Keduanya, anda juga menyelamatkan orang lain daripada terkena jangkitan. Ketiganya, anda semua menyumbang kepada usaha membendung penularan wabak Covid-19 dalam masyarakat dan negara kita," katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen malam ini.
Melahirkan rasa syukur, Muhyiddin berkata, dengan usaha-usaha yang sedang giat dilakukan oleh petugas barisan hadapan dan disiplin rakyat untuk mematuhi PKP, kes-kes baharu Covid-19 akan dapat dikurangkan ke tahap paling minimum dan membendung sepenuhnya penularan wabak.
Menzahirkan harapan lebih ramai pesakit positif Covid-19 akan sembuh dan dapat menjalani kehidupan seperti sedia kala, beliau berkata, Malaysia adalah antara negara yang mencatatkan kadar kesembuhan tertinggi di dunia.
Seramai 3,542 pesakit atau 63.2 peratus daripada keseluruhan 5,603 pesakit Covid-19 telah pun sembuh setakat ini.
Dalam perutusannya pada malam 1 Ramadan, Perdana Menteri yang mengucapkan Ramadan Al-Karim kepada seluruh umat Islam berkata, bulan puasa kali ini lebih istimewa kerana ia bukan sahaja bulan untuk melawan nafsu dan menyucikan jiwa bagi mendapat keredaan ALLAH SWT tetapi juga berjihad melawan Covid-19.
"Kita masih belum menang dalam perang menentang Covid-19 tetapi saya yakin insya-ALLAH, kita akan menang. Yang penting ialah jihad dan istiqamah. Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, tingkatkan jihad kita memerangi Covid-19. Teruslah istiqamah dengan usaha kita,” katanya.
Muhyiddin berkata, rakyat Malaysia khususnya umat Islam perlu melihat secara positif kebiasaan baharu pada Ramadan kali ini yang tidak akan membolehkan mereka mengunjungi bazar Ramadan dan tidak melakukan ibadah seperti berbuka puasa, solat berjemaah dan bertarawih di masjid, sebaliknya perlu melakukannya di rumah.
"Mungkin inilah peluang yang ALLAH berikan kepada kita untuk mengamalkan sebenar-benar ibadah puasa. Kita berbuka puasa dan bersahur sekadarnya. Makan masakan isteri kita dan tidak membazir.
"Mungkin ini peluang yang ALLAH SWT berikan kepada kita untuk berjemaah bersama keluarga di rumah. Jika tidak sekarang, bila lagi. Kita jadi imam, anak dan isteri jadi makmum. Insya-ALLAH, ganjaran pahala dan barakah yang kita terima tidak kurang besarnya,” katanya.
Mengajak seluruh rakyat berjihad bersama-sama memerangi hawa nafsu untuk ibadah puasa yang lebih baik serta memutuskan rantaian penularan Covif-19, Muhyiddin berkata, semua pihak perlu sama-sama berdoa agar diberi kemenangan, kesihatan dan keselamatan daripada wabak itu.
Perdana Menteri turut memberi kata-kata semangat kepada semua petugas barisan hadapan agar terus tabah dan cekal menjalani ibadah puasa semasa bertugas.
"Insya-ALLAH, pengorbanan anda semua akan diberikan ganjaran oleh ALLAH SWT,” katanya. - Bernama