HARI INI ini ialah hari pertama umat Islam di Malaysia menjalankan ibadah puasa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dijalankan.
Kita sering mendengar dalam surat khabar atau di televisyen mengenai istilah norma baharu, di mana kita semua perlu biasakan diri dengan penjarakan sosial dan sentiasa berada di rumah bagi memutuskan jangkitan Covid-19.
Untuk tahun ini, kita dah boleh lupakan niat mahu pergi ke bazar Ramadan yang kita gemari dan mencium bau makanan yang sedap-sedap. Tiada bau ikan bakar melekat di baju atau berebut mendapatkan tempat parkir kereta. Kita perlu terima hakikat itu.
Merak Jalanan pun sudah membeli stok makanan untuk sahur dan berbuka selama seminggu. Cuma Merak Jalanan akan beli juadah tambahan seperti kuih-muih dan air yang mungkin dijual oleh jiran-jiran setaman.
Menariknya kali ini, kita boleh lihat bagaimana keakraban jiran tetangga dan jiran sekampung bersama-sama menghadapi tempoh yang mencabar itu.
Seperti di taman perumahan Merak Jalanan, kami menyediakan satu rak khas di pondok pengawal menempatkan makanan seperti beras, gula, garam, minyak masak dan makanan dalam tin kepada jiran-jiran yang memerlukan.
Kita tahu ada jiran-jiran yang susah tapi malu meminta-minta tetapi mereka putus pendapatan pada musim PKP ini.
Merak Jalanan yakin banyak lagi taman dan masjid menyediakan rak khas makanan seperti itu. Apatah lagi menjelang Ramadan, umat Islam memang digalakkan beramal jariah.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, aktiviti kunjung-mengunjung dan merentasi negeri, daerah dan mukim atau perhimpunan perlu dielakkan.
Ikutilah saranan kerajaan, jangan anggap kita sudah menang melawan wabak Covid-19.
Merak Jalanan ucapkan selamat berpuasa kepada semua umat Islam di Malaysia!