Hasrat mahu tolong mangsa kemalangan bertukar tragedi

Iklan
Mangsa yang tercampak di bawah lori berjaya dibawa keluar oleh anggota bomba. Foto: JBPM Perak

SLIM RIVER - Hasrat seorang pemandu lori untuk membantu mangsa kemalangan bertukar tragedi apabila dia pula yang maut dalam nahas membabitkan empat lori di KM384.5, Lebuh Raya Utara - Selatan arah selatan di sini semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 7.30 petang itu, P Govindasamy, 40, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala, tiga pemandu lain terselamat.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, keempat-empat kenderaan terbabit dalam perjalanan menuju ke Selangor.

Menurutnya, kejadian itu awalnya berlaku apabila sebuah lori jenis Hino yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun telah hilang kawalan.

Iklan

"Keadaan itu menyebabkan lori terbabit terbabas dan melanggar besi pembahagi di tengah jalan sebelum berhenti dalam keadaan melintang di lorong kiri.

"Mangsa yang memandu lori jenis Mitsubishi Fuso terlihat kejadian itu telah berhenti di lorong kecemasan dan turun untuk memberi bantuan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Sulizmie Affendy berkata, bagaimanapun berlaku pula perlanggaran membabitkan lori ketiga iaitu jenis Isuzu dan lori keempat jenis Scania yang masing-masing dipandu oleh lelaki berusia 25 dan 45 tahun.

"Lori Isuzu tersebut telah melanggar bahagian kanan belakang lori terbabas terbabit menyebabkan kenderaan itu berpusing.

"Pelanggaran itu mengakibatkan mangsa yang sedang membantu telah tercampak hingga masuk ke bawah lori. Pada masa sama, lori Scania yang berada di belakang telah bergesel dan terlanggar pula lori di hadapannya," katanya.

Menurutnya, mangsa disahkan maut di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Slim River untuk bedah siasat.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.