Pasar Borong KL mula operasi hari ini

Iklan
Annuar (dua dari kiri) menerima 100,000 topeng muka disampaikan wakil Kedutaan Besar China di Malaysia di Menara DBKL 1 di sini hari ini.

KUALA LUMPUR - Pasar Borong Kuala Lumpur mula beroperasi hari ini selepas ditutup selama empat hari untuk proses disinfeksi koronavirus (Covid-19).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, walaupun berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), namun aktiviti perniagaan di pasar borong itu perlu beroperasi untuk membekalkan sumber makanan utama kepada penduduk.

Iklan
Iklan

Menurutnya, operasi di kawasan itu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi memastikan pematuhan penjarakkan sosial dan kebersihan.

"Satu pasukan akan ditempatkan di sana bagi memantau operasi dan menyediakan laporan secara harian.

Iklan

"Setiap lori yang masuk dalam kawasan pasar perlu masuk secara berjadual, mengikut giliran bagi mengelakkan kesesakan.

"Pekerja juga perlu memakai alat perlindungan diri yang sesuai sewaktu berada dalam kawasan itu sebagai pencegahan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada program Malaysia-China berganding bahu melawan wabak Covid-19 dan penyampaian topeng muka dari China di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 1, Jalan Raja Laut di sini hari ini.

Annuar berkata, pekerja pasar borong yang tinggal di kawasan PKPD Pusat Bandar Utara dan sekitar pasar borong tersebut tidak dibenarkan keluar bekerja.

"Mereka yang terlibat dengan 'lockdown' tak boleh keluar walaupun bekerja di pasar borong tersebut.

"Penduduk di kawasan PKDP perlu kekal dalam bangunan untuk menjalani saringan Covid-19 kemudian tunggu 14 hari hingga tamat PKPD sebelum boleh mula bekerja," katanya.

Pada Isnin lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD keenam dilaksanakan di Pusat Bandar Utara dan sekitar Pasar Borong KL membabitkan lapan parcel termasuk Taman Seri Murni sehingga 3 Mei ini.