KUANTAN - Restoran dan premis makanan yang berada di bangunan lot kedai termasuk restoran makanan segera di sini dibenarkan beroperasi sepanjang Ramadan namun tertakluk kepada syarat ditetapkan.
Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) memaklumkan demikian melalui notis pemberitahuan garis panduan perniagaan premis makanan sepanjang Ramadan yang dikeluarkan semalam.
MPK menetapkan syarat tertentu kepada premis makanan dan penghantar makanan atau 'runner' yang beroperasi itu sementara semua kategori perniagaan berbentuk penjajaan termasuk warung, gerai dan penjaja statik tidak dibenarkan.
Melalui garis panduan itu, restoran atau premis makanan di bangunan lot kedai dibenarkan beroperasi bermula jam 12 tengah hari hingga 7 petang secara 'take away', pandu lalu dan khidmat penghantaran sahaja manakala restoran makanan segera dibenarkan beroperasi bermula jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam melalui khidmat pandu lalu serta penghantaran sahaja.
Pemilik premis atau pengusaha makanan terlibat juga perlu mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mempraktikkan penjarakan sosial, penggunaan sanitasi tangan, memakai topeng muka serta menghadkan bilangan kemasukan pelanggan pada satu-satu masa.
Menurut notis itu lagi, hanya bekas makanan plastik dan kertas dibenarkan untuk membungkus makanan siap dimasak manakala bekas polisterina tidak dibenarkan selain peniaga perlu mematuhi Garis Panduan Keselamatan Makanan bagi produk makanan yang dijual secara dalam talian sepanjang PKP.
Sementara itu melalui notis sama, MPK menetapkan tujuh syarat kepada penghantar makanan yang beroperasi sepanjang Ramadan ketika PKP ini.
Antaranya, penghantar makanan perlu mendapatkan permit penghantaran yang dikeluarkan MPK dan hanya dibenarkan untuk membuat penghantaran makanan bagi restoran makanan segera sahaja selepas jam 7 malam hingga 12 tengah malam.
Selain itu, penghantaran makanan perlu menggunakan bekas atau tempat simpanan yang dikhaskan untuk mengisi makanan sahaja.
Turut disyaratkan, penghantaran makanan hanya secara individu (berseorangan) sahaja dan mereka perlu memakai topeng muka, memakai sarung tangan, membawa sanitasi tangan dan mengamalkan penjarakkan sosial ketika berurusan dengan pelanggan.
Mereka perlu mematuhi had jarak penghantaran dalam lingkungan 10 kilometer sahaja dan perlu memastikan berada dalam keadaan sihat ketika beroperasi.
Sebarang pelanggaran syarat yang ditetapkan itu boleh diambil tindakan serta merta oleh MPK termasuk arahan penutupan premis atau menarik balik permit penghantaran yang dikeluarkan.