Mayat lelaki dibaham buaya ditemui

Iklan
Gambar hiasan.

KUCHING - Mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham buaya tiga hari lepas di sebuah sungai berdekatan Kampung Tanjung Bijat, Sri Aman, kira-kira 220 kilometer (km) dari sini ditemukan hari ini oleh penduduk kampung yang menyertai operasi mencari dan menyelamat di hulu sungai itu.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mayat mangsa, Yahna Mehrat,29, ditemui terdampar kira-kira 2.7km menghala ke hulu sungai dari lokasi mangsa dipercayai dibaham buaya.

Iklan
Iklan

"Mayat yang dijumpai itu pada jam 7.30 pagi ini berada dalam keadaan hilang kedua-dua belah tangan dan kaki sebelah kiri hingga ke paras lutut dipercayai dibaham buaya dan mayat berkenaan telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sri Aman,” katanya ketika dihubungi.

Yahna dilaporkan hilang oleh bapa saudaranya pada jam 2 petang Rabu lalu selepas dipercayai dilibas seekor buaya ketika mereka sedang memasang pukat di bahagian tengah sungai tersebut.

Iklan
Iklan

JBPM Sri Aman dengan bantuan polis dan penduduk kampung telah memulakan operasi mencari mangsa sejurus laporan berkenaan diterima pada jam 3.50 petang pada hari kejadian. - Bernama