KUALA LUMPUR - Penganjur akan memulangkan caj sewa tapak kepada peniaga yang menarik diri dari terlibat dengan bazar Ramadan tahun depan, mulai 1 Mei ini.
Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Mohamed Zamri Mohammed berkata, tidak timbul isu persatuan enggan memulangkan duit peniaga seperti didakwa segelintir pihak.
Menurutnya, pemulangan wang itu mengambil sedikit masa susulan perlu menunggu senarai penuh kemas kini peniaga daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"DBKL memberi tempoh selama 10 hari hingga 30 April ini untuk peniaga kemas kini maklumat sama ada mahu menuntut pemulangan bayaran atau kekal berniaga di bazar tahun depan di laman sesawang, https://elesean.dbkl.gov.my/ebazar.
"Sebaik kita menerima senarai sah dari DBKL itu maka kita akan bayar kepada peniaga yang ingin menarik diri.
"Tidak timbul isu tidak mahu buat pemulangan, sebaliknya pemulangan wang itu mahu dilakukan secara teratur bagi mengelak masalah pada masa akan datang termasuk pertindihan maklumat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Terdahulu, timbul dakwaan mengatakan konon pihak penganjur enggan memulangkan duit penjaja selepas DBKL memutuskan tiada penganjuran bazar Ramadan tahun ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, terdapat empat persatuan induk terlibat dalam penganjuran bazar Ramadan di 65 tapak dengan 2,7000 peniaga telah didaftarkan.
"Di peringkat awal memang dicadangkan supaya wang sewa itu tidak dipulangkan dan dibawa ke tahun hadapan supaya peniaga-peniaga ini diberikan peluang meniaga.
"Kaedah itu dilihat lebih mudah di mana peniaga tidak perlu buat permohonan semula dan undian tapak tidak perlu dilakukan. Namun apabila ada yang ingin wang itu dipulangkan maka DBKL berikan dua pilihan kepada peniaga," katanya.
Beliau turut menafikan dakwaan caj sewa yang dikenakan kepada peniaga bazar Ramadan mencecah RM10,000 sebulan.
"Saya berharap kami diberi peluang utk membersihkan nama baik persatuan yang difitnah termasuk menuduh kami mengenakan sewaan RM700 hingga RM10,000 sebulan.
"Sewa yang dikenakan hanyalah RM350 hingga RM600 saja bergantung kepada lokasi dan kemudahan kerana tertakluk dengan kadar harga ditetapkan DBKL," katanya.
Menurutnya, beliau meminta pihak yang membuat dakwaan itu melampirkan bukti kerana memberikan imej tidak baik kepada persatuan yang telah menguruskan bazar lebih 20 tahun.
"Mungkin yang menyewa RM10,000 itu adalah pihak ketiga atau sewa atas sewa. Jika difikirkan logik, tak mungkin mereka yang meniaga kuih di bazar mampu membayar RM10,000 sebulan," katanya.