KUALA TERENGGANU - Tiga beranak tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Paya di sini tengah hari tadi.
Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan 2, Mohd Zuhan Shafie dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kota di sini berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 12.04 tengah hari tadi.
Iklan
Iklan
"Tiga jentera termasuk dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu dengan kekuatan 20 anggota diketuai oleh saya sendiri dikerah ke lokasi yang hanya terletak lebih kurang satu kilometer (km).
"Sebaik tiba di lokasi iaitu kira-kira jam 12.07 tengah hari, didapati rumah separuh kekal itu sudah terbakar 100 peratus dan pasukan bomba terus bertindak memadam kebakaran serta mengawal api daripada merebak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Mohd Zuhan berkata, struktur rumah diperbuat daripada kayu sepenuhnya menyebabkan api terlalu cepat merebak selain keadaan cuaca hari ini yang agak panas faktor api marak.
"Operasi terkawal 15 minit kemudian dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.