PUTRAJAYA - Memasuki hari ke-10 pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah melakukan pemeriksaan ke atas 627,494 kenderaan dalam 827 sekatan jalan raya di seluruh negara semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan laporan yang diterima, ada berlaku kenaikan dengan jumlah penambahan kenderaan yang begitu tinggi berbanding sebelumnya.
Menurutnya, perkara itu dipercayai berpunca daripada ramainya rakyat kita yang keluar untuk berbelanja bagi membuat persediaan bagi menghadapi Ramadan pertama hari ini.
"Selain itu pihak polis juga telah membuat sebanyak 42,941 pemeriksaan mengejut di seluruh negara dengan sebanyak 6,700 premis telah diperiksa.
"PDRM telah menangkap seramai 550 individu berbanding dengan 763 individu pada hari sebelumnya kerana ingkar PKP yang merangkumi 480 individu yang direman dan 70 individu lagi diberikan jaminan polis,” katanya pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa terdapat penurunan dari segi jumlah tangkapan berbanding sebelumnya.
"Jadi, kita berharap supaya jumlah tangkapan ini akan terus menurun sekali gus menggambarkan bahawa kadar pematuhan rakyat terhadap peraturan PKP ini semakin meningkat.
"Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga semalam adalah seramai 19,048 individu di mana 1,014 daripadanya telah pun dituduh di mahkamah,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai berita palsu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuka 238 kertas siasatan berikutan dengan berita palsu koronavirus (Covid-19) berbanding 237 kertas siasatan hari sebelumnya.
Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 170 masih dalam siasatan manakala 24 kes di dakwa di mahkamah dan 13 telah mengaku salah serta 11 lagi telah diberikan notis amaran.
"Justeru, orang ramai boleh menyemak kesahihan berita melalui portal sebenarnya.my dan kerajaan sekali lagi ingin memberi peringatan agar berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya.
"Jika tidak pasti, jangan kongsi kerana tindakan juga boleh diambil kepada penyebar-penyebar yang menerima berita dan penyebar juga boleh diambil tindakan. PDRM dan SKMM akan bertindak tegas terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu,” katanya.