36 individu dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran diberkas

Iklan
Antara individu yang ditahan Imigresen di sebuah hotel di Pudu, semalam.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen menahan 36 individu termasuk 23 wanita warga asing yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran di sebuah hotel di Jalan Sungai Besi, Pudu, di sini, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya menemui wanita warga asing di dalam bilik berasingan bersama pelanggan terdiri daripada lelaki warga tempatan dan Pakistan ketika serbuan pada jam 2 petang.

Iklan
Iklan

"Kita turut menemui sejumlah kondom yang sudah dan belum digunakan serta peralatan seks di dalam bilik hotel itu. Selain itu, kita menemui buku catatan rekod bayaran pelanggan,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, seramai 13 orang warga Thailand, tujuh Indonesia, dua Vietnam dan seorang dari Laos ditahan dalam operasi bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Iklan

"Kesemua tangkapan berusia dari 25 hingga 40 tahun dan akan disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, iaitu melanggar syarat Pas Lawatan Sosial,” katanya.

Beliau berkata, seramai tiga lelaki warga tempatan turut ditahan, mereka dipercayai bekerja sebagai ejen kegiatan pelacuran tersebut di samping bertugas menjaga hotel berkenaan.

Iklan

"Kesemua mereka akan disiasat di bawah seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 iaitu melindungi mana-mana orang yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen,” katanya.

Menurutnya, pelanggan lain yang ditangkap ialah seorang lelaki warga Pakistan yang didapati telah tinggal lebih masa selepas tamat tempoh Pas dan akan disiasat di bawah seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Dalam operasi khas ini, kita merampas sejumlah wang tunai sebanyak RM20,656.45, ia akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613],” katanya.

Beliau berkata, modus operandi sindiket pesundalan yang didalangi rakyat tempatan itu adalah dengan menyiarkan gambar iklan perempuan berpakaian seksi melalui aplikasi Wechat yang boleh ditempah melalui media sosial atau dilanggan secara walk-in untuk tujuan pesundalan.

"Setiap tempahan dan langganan dikenakan bayaran antara RM180 hingga RM300 bagi satu sesi dengan bilik hotel disediakan secara percuma,” katanya.

Kesemua tahanan warganegara asing akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen, Semenyih. Sebagai langkah pencegahan penyebaran Covid-19, mereka akan disaring oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Depot sebelum direman untuk siasatan dan pendakwaan.