Surat ujian di Singapura tidak terpakai

Iklan
JKJN menetapkan SOP baharu di pintu masuk di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar di Tambak Johor.

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKJN) tidak lagi akan mengguna pakai surat ujian koronavirus (Covid-19) dari Singapura yang diperoleh rakyat Malaysia di republik itu untuk masuk ke negara ini melalui Johor.

Mereka sebaliknya perlu menjalani prosedur baharu lebih ketat yang ditetapkan JKJN.

Iklan
Iklan

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, JKJN menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baharu di pintu masuk di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar di Tambak Johor dan di CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah.

Menurutnya, pengurusan baharu kemasukan di kedua-dua pintu masuk itu dilakukan selari dengan kes jangkitan virus berkenaan di Singapura semalam yang mencatatkan pertambahan 897 kes positif baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes kumulatif positif di republik tersebut sebanyak 12,075 kes.

Iklan

"Menerusi prosedur baharu ini, rakyat Malaysia di Singapura yang pulang tidak akan menjalani proses kuarantin di rumah. Ketibaan semua warganegara, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang yang memasuki negara ini perlu melalui pengimbas suhu.

"Sekiranya didapati tidak demam, saringan kesihatan akan dijalankan sebelum individu dalam siasatan (PUI) dan individu dalam pemerhatian (PUS) yang mempunyai penyakit kritikal dirujuk ke hospital ataupun dihantar ke pusat kuarantin. Sekiranya demam, individu yang memasuki negara ini akan terus dirujuk ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Iklan

Vidyananthan berkata, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Imigresen (JIM) Johor akan memastikan kemasukan warganegara Malaysia yang pulang dari Singapura akan terus dipantau dengan ketat dan wajib melalui proses SOP baharu yang ditetapkan.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad baru-baru ini berkata, terdapat lebih 40,000 rakyat Malaysia yang masih berada di Singapura mahu pulang ke tanah air dan purata mereka yang pulang ketika ini kira-kira 500 hingga 600 orang sehari. Menurut Hasni, kerajaan negeri berharap Singapura akan bekerjasama untuk membenarkan rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu pulang ke tanah air secara berperingkat-peringkat antara 1,000 hingga 2,000 orang sehari bagi mengelakkan kesesakan dan memudahkan pengurusan mereka.

Sementara itu, Vidyananthan memberitahu, tiada kemasukan mendadak termasuk pekerja Malaysia di Singapura atau warganegara asing di semua pintu masuk antarabangsa di negeri ini sejak 8 April lalu. Jumlah mereka tidak melebihi 1,000 orang sehari.

"Kelmarin (Khamis lalu) seramai 825 individu yang memasuki semua pintu masuk di negeri ini disaring. Daripada jumlah itu, sebanyak 822 individu ditempatkan di pusat kuarantin di negeri ini manakala tiga lagi menjalani kuarantin di rumah,” katanya.