Menu wajib bulan puasa

Iklan
Antara kuih-muih tradisional Kelantan yang dijual secara set oleh Mohd Noor Hadri.

KOTA BHARU - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menghalang peniaga di Kota Bharu, Kelantan untuk meneruskan perniagaan masing-masing.

Pelbagai cara mereka lakukan termasuk menghantar makanan ke rumah pelanggan bagi memastikan perniagaan beroperasi seperti biasa sepanjang Ramadan.

Iklan
Iklan

Salah satu menu yang mendapat sambutan di Kota Bharu sebagai juadah berbuka puasa setiap kali bulan Ramadan ialah ayam bakar tin.

Bagi pengusahanya, Wan Mohd Zaini Wan Johan, 35, permintaan pelanggan meningkat setiap kali menjelang Ramadan berbanding hari lain.

Iklan

Bagaimanapun, katanya, pada tahun ini beliau mengehadkan penjualan bagi mematuhi arahan PKP dan penjarakkan sosial.

"Ayam bakar tin ini hanya menu biasa namun ia menjadi kegilaan kerana mempunyai keistimewaan tersendiri dengan isinya lembut, rasanya manis dan bau rempahnya cukup menyelerakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Wan Mohd Zaini berkata, cara memasak ayam bakar tin mudah, cuma penyediaannya agak rumit dan memerlukan kesabaran yang tinggi.

"Paling mencabar adalah untuk mencari tin. Bukan tin biasa tapi tin biskut yang mempunyai saiz sesuai selain mempunyai ketahanan panas selama berjam-jam.

"Sebelum letak bara atas ayam, kita perlu pastikan suhu bara betul-betul sesuai untuk membantu mendapatkan jus ayam yang manis,” katanya.

Berempah

Selain ayam bakar tin, juadah ikan bakar berempah juga menjadi menu yang menarik perhatian setiap kali menjelang Ramadan terutama mereka yang menggemari makanan berlada.

Namun, tidak semua orang mampu menghasilkannya kerana ikan bakar berempah juga tergolong dalam sajian yang rumit untuk disediakan.

Ini diakui sendiri oleh seorang peniaga, Siti Haslinda Mohd Ariffin, 33, bahawa penyediaan masakan itu memerlukan ketekunan.

"Penyediaan ikan bakar rempah nampak mudah, namun kita kena pastikan ikan betul-betul segar dan rempah tidak terlalu banyak, tidak terlalu sikit supaya rasa isi ikan itu sebati dengan rempah,” katanya yang mewarisi resipi berkenaan daripada ibunya yang sudah meninggal dunia.

Ditanya tentang strategi perniagaannya pada Ramadan, Siti Haslinda berkata, beliau menjual ikan bakar berempah terus dari pintu rumahnya.

Beliau menggunakan khidmat penghantaran kepada pelanggan yang mahu mendapatkan masakan air tangannya itu."Ia agak mencabar berbanding tahun-tahun sebelumnya sebab saya kena buat penghantaran."Tapi saya optimis untuk melaksanakan perniagaan ini sebaik mungkin demi sesuap nasi,” katanya.

Antara kuih-muih tradisional Kelantan yang dijual secara set oleh Mohd Noor Hadri.

Kuih tradisional

Berlainan pula dengan peniaga kuih tradisional seperti akok jala emas, tahi itik dan buah tanjong. Walaupun tidak mendapat tempahan seperti tahun-tahun lalu, namun mereka tetap beroperasi seperti biasa ketika pelaksanaan PKP ketika ini.

Mohd Noor Hadri Abdul Halim, 42, yang juga pemilik perniagaan Nik Seri Mas berkata, sebanyak 3,000 biji akok dihasilkannya sehari pada tahun-tahun lalu, namun kini pesanan hanya tinggal 1,000 sehari susulan pelaksanaan PKP akibat penularan Covid-19.

Bagaimanapun, beliau berkata, operasi jualan berjalan seperti biasa dan kebanyakan pelanggan hanya membeli untuk juadah berbuka.

"Selain itu, kita sediakan juga tempahan daripada agensi dan NGO. Selebihnya kami buka jualan seperti biasa di rumah. Namun jumlah penghasilan adalah separuh daripada kuantiti biasa,” katanya.

Resipi kuih-muih tradisional Kelantan itu merupakan tradisi turun-temurun keluarganya yang diwarisi sejak empat keturunan terdahulu.

Walaupun hasil penjualan kali ini tidaklah banyak seperti tahun-tahun sudah, namun kuih tradisional sebenarnya mempunyai peminat tersendiri.