Remaja langgar anggota PGA bertugas di sekatan jalan raya

Iklan

LAHAD DATU - Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 17 yang bertugas di sekatan jalan raya di Jalan Muhibbah dekat sini cedera selepas dilanggar remaja dipercayai penagih dadah dalam kejadian 12.40 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, suspek perempuan berumur 18 tahun itu dipercayai memandu laju kereta jenis Toyota Estima yang kemudian gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh sekatan jalan raya terbabit dan melanggar serta menyeret mangsa berusia 36 tahun berkenaan sejauh tujuh meter dari lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

"Ekoran kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan patah tangan kanan, cedera pada dahi selain menerima beberapa jahitan di kening," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa di Hospital Lahad Datu di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek yang ingin pulang ke rumahnya dari rumah rakan di Taman CL turut melanggar dua kenderaan anggota bertugas yang lain iaitu Proton Persona dan Proton Saga yang diparkir di bahu jalan kawasan berkenaan.

Iklan

"Rakan suspek akan disiasat berkaitan aktiviti yang dilakukan bersama suspek, sebelum kejadian berlaku," katanya.

Dalam pada itu, Nasri berkata, ketika kejadian, suspek juga didapati memiliki dadah methamphetamine seberat 0.2 gram yang disimpan di poket seluarnya.

Iklan

"Siasatan awal juga mendapati suspek tidak memiliki lesen memandu, selain positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine hasil saringan ujian air kencing dilakukan," katanya.

Katanya, suspek akan dihadapkan ke mahkamah hari ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman.- Bernama