KANGAR - Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menasihatkan pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew supaya tidak menyimpan segala kritikan dan tohmahan pihak tertentu di dalam hati sehingga boleh menjejaskan usaha yang dilakukannya selama ini.
Dr Mohd Asri berkata, tidak semua orang akan berpuas hati atas segala perkara dilakukan orang lain dan mungkin akan mula memberi kritikan.
"Saya rasa beliau tidak perlu simpan dalam hati benda ini. Jikalau, dia ikhlas membantu orang pasti tidak ada masalah. Jangan disimpan kerana dalam dunia ini memang sudah lumrahnya begitu.
"Apabila tengok orang buat sesuatu, akan ada yang memberikan pandangan atau kritikan. Malah penyanyi yang hanya ingin menghiburkan orang lain pun tidak terlepas dari dikritik," katanya dalam kuliah yang dirakam secara langsung di Facebook hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN] - Ustaz Ebit Lew mahu 'berehat'
Dalam pada itu, beliau berkata, orang awam diminta tidak mempertikaikan keikhlasan seseorang yang melakukan amal kebaikan dengan memberi bantuan terhadap orang lain.
Menurutnya, keikhlasan merupakan urusan dan rahsia ALLAH S.W.T dengan hambanya sekali gus orang ramai tidak menilai usaha murni dilakukan.
Bagaimanapun, katanya, beliau yakin Ustaz Ebit ikhlas membantu orang lain dan merupakan contoh individu memberi rezeki lebih yang menyumbang kepada orang lain.
Semalam, Ebit Lew melalui hantaran di Facebook membuat keputusan untuk tidak lagi membantu secara langsung golongan yang kurang berkemampuan selepas beliau dipanggil memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur.