SHAH ALAM - Perkongsian video oleh pendakwah, Ustaz Abdullah Khairi yang memaparkan sekumpulan pemuda menitipkan ucapan kepada petugas barisan hadapan yang menjaga mereka ketika menerima rawatan akibat koronavirus (Covid-19) semalam, meruntun jiwa warganet.
Dalam video berdurasi seminit 37 saat yang dikongsi menerusi Instagram Ustaz Abdullah Khairi juga memaparkan wakil pemuda berkenaan menyampaikan ucapan penghargaan kepada petugas barisan hadapan sambil menangis.
"Kebaikan abang dan kakak Insya-ALLAH kami akan kenang sentiasa dalam doa kami.
"Kami juga memohon sejuta kemaafan sekiranya kami tidak dapat memberikan kerjasama yang baik, tapi abang dan kakak dah berikan yang terbaik buat kami,” kata pemuda berkenaan.
Pemuda itu juga berkata, walaupun mereka saling tidak mengenali tetapi kasih sayang, layanan serta perhatian diberikan saling tidak tumpah seperti ibu bapa kepada anak-anaknya.
"Kami sangat berterima kasih, hanya ALLAH SWT yang dapat membalasnya,” katanya.
Ustaz Abdullah Khairi turut meninggalkan kapsyen pada hantaran berkenaan.
"Mereka berpisah. Dari Sri Petaling dengan cinta!" tulis Ustaz Abdullah Khairi.
Netizen rata-ratanya meluahkan rasa sebak mereka menonton video tersebut dan meninggalkan komen.
"ALLAH sedihnya,” kata Fiza Muss.
"Sebaknya dengar,” kata Zryonic.
Hantaran video berkenaan mendapat 197,381 tontonan sejak semalam.