PLUS bersedia hadapi PKP fasa keempat

Iklan
AZMAN

PETALING JAYA - Syarikat Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) Malaysia Berhad sudah bersiap sedia menyediakan tahap perkhidmatan dan keselamatan terbaik kepada semua pengguna lebuh raya sepanjang perlanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat bermula 29 April ini.

Iklan
Iklan

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail berkata, antara pengguna lebuh raya diberi perhatian adalah mereka yang menghantar barangan penting atau membawa pulang insan tersayang sebagaimana dibenarkan kerajaan selepas PKP fasa keempat.

Menurutnya, bagi setiap jarak perjalanan 1,100 kilometer merentasi lebuh raya PLUS, pasukan PLUSRONDA bersama Pusat Pemantauan Trafik (TMC) akan bekerja sepanjang masa demi memastikan keselamatan dan keselesaan perjalanan semua pengguna lebuh raya.

Iklan

"Bagaimanapun, pengguna lebuh raya juga perlu menyedari PLUS sangat menitikberatkan segala usaha menghentikan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

'Kami sentiasa menguatkuasakan arahan penjarakan sosial dan penjagaan kebersihan sewajarnya, selaras dengan amalan norma baharu ditetapkan pihak berkuasa terhadap mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Azman berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkuasa berkaitan dan bersedia memberikan perkhidmatan terbaik terhadap segala aspek membabitkan lebuh raya PLUS.

"Usah bimbang. Walaupun terdapat kemungkinan PKP akan disambung selepas 12 Mei hadapan, PLUS masih bersiap-siaga untuk membantu dan menyokong semua pengguna lebuh raya dengan semua petugas barisan hadapan sudah lengkap bersedia memberi bantuan diperlukan," katanya.