SHAH ALAM - Seorang doktor perubatan dari Malaysia yang berkhidmat sebagai pakar perunding neonatologi di Hospital Wanita Birmingham, United Kingdom (UK) dilaporkan telah meninggal dunia kerana koronavirus (Covid-19).
Menurut kenyataan laman web Yayasan Wanita dan Kanak-kanak Birmingham semalam, Dr Vishna Rasiah, 48, atau lebih dikenali sebagai Vish dalam kalangan rakan sekerjanya merupakan Ketua Klinikal untuk rangkaian Neonatal serantau yang dipandang tinggi.
Ketua Eksekutif Hospital Kebajikan Wanita Birmingham, Sarah-Jane Marsh menyifatkan mendiang sebagai seorang doktor pakar yang cukup terkenal di seluruh kawasan tengah Midlands UK serta disayangi rakan-rakan sekerjanya.
"Vish merupakan seorang doktor, ketua, rakan sekerja dan kawan yang sangat berdedikasi dalam urusan penjagaan bayi dan keluarga mereka.
"Pemergiannya amat mendukacitakan kami terutamanya kami yang terlibat dalam penjagaan neonatal dan pastinya akan memberi kesan mendalam kepada isteri dan anak perempuannya.
"Walaupun bersedih dengan berita ini namun kami akan sentiasa mengingati nilai-nilai, visi, keberanian dan keprihatinan yang diterapkan mendiang. Semoga Vish berehat dengan aman,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, isteri mendiang yang hanya dikenali sebagai Liza berkata, mendiang adalah seorang suami dan bapa yang penyayang terutamanya terhadap anak perempuan mereka, Katelyn.
Katanya, mendiang juga merupakan seorang anak dan abang yang disayangi oleh keluarga mereka di Malaysia dan Trinidad.
"Keluarganya amat bermakna buatnya dan mendiang sungguh sayang akan Katelyn.
"Vish sungguh komited terhadap kerjanya dan beliau menganggap rakan sekerjanya sebagai ahli keluarga. Mendiang merawat dan melayan semua pesakit seperti ahli keluarganya dan saya amat berbangga dengannya,” katanya.
United Kingdom antara negara paling teruk terjejas akibat pandemik Covid-19 dengan mencatatkan hampir 150,000 kes positif dengan hampir 20,000 kematian sehingga semalam.