NILAI - Seramai enam penuntut dari tiga Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang tidak dapat meneruskan perjalanan pulang ke rumah masing-masing selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berteduh di kolej kediaman Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini.
Mereka yang terdiri daripada tiga penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu; seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP), Pahang dan dua penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah itu ditawarkan tempat di kolej kediaman USIM selepas masing-masing terkandas dalam perjalanan mereka.
Penuntut Sarjana Muda Reka Bentuk Perindustrian UniSZA Muhammad Al Jabbar Abd Muin, 25, berkata, dia bersama dua rakannya Mohamad Ehsansyah, 22, dan Azizana Safwan Arman, 22, sudah lebih sebulan tinggal di kolej kediaman USIM, selepas terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 20 Mac lalu ketika dalam perjalanan ingin pulang ke Sabah.
"Apabila kerajaan umumkan 18 Mac akan bermulanya PKP, kami sempat membeli tiket penerbangan untuk pulang ke Sabah pada tarikh 20 Mac, tetapi pada hari berkenaan setelah tiba di KLIA2 baru kami tahu penerbangan dibatalkan kerana mematuhi PKP dan waktu itu pula kami tiada tempat untuk dituju kerana hari sudah malam.
"Saya menghubungi pihak universiti memaklumkan masalah yang dihadapi dan pihak UniSZA memaklumkan akan berhubung dengan pihak USIM untuk memohon bantuan. Alhamdulillah, pada malam itu juga kakitangan USIM datang menjemput kami di KLIA2 dan menempatkan kami di Kolej Kediaman Acacia USIM sehingga hari ini,” katanya di sini.
Berkongsi pengalaman sama, penuntut Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik dari UMP, Chua Wei Ming, 23, yang tidak dapat dapat pulang ke Sibu, Sarawak kerana penerbangan ke sana turut dibatalkan.
"Saya sudah berada di Kuala Lumpur apabila mengetahui jadual penerbangan saya pada 21 Mac dibatalkan dan apabila membuat rujukan di media sosial, saya tengok harapan untuk pulang memang tipis kerana kerajaan tidak membenarkan sebarang penerbangan dari Semenanjung ke Sabah atau Sarawak.
"Hendak pulang semula ke UMP akan menghadapi banyak kesulitan, jadi saya menumpang sementara di rumah kenalan di Kuala Lumpur. Setelah berhubung dengan Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMP, mereka memberitahu USIM bersedia menawarkan kediaman kepada saya bagi memastikan kebajikan dan keselamatan saya terjaga dan saya mula mendiami kolej kediaman USIM pada 30 Mac lalu sehingga kini," katanya.
Sementara itu, penuntut Pengurusan Pembangunan dari UUM, Alif Ikhwan Yusof, 25, dan rakannya Randy Kevin, 22, pula ditempatkan di USIM bagi mematuhi tempoh kuarantin selepas pulang dari luar negara.
"Kami sedang mengikuti program 'mobility outbound' di Universiti Yogyakarta, Indonesia sebelum diarahkan pulang segera ke Malaysia ekoran risiko penularan wabak Covid-19 yang tinggi di sana. Kami juga dimaklumkan awal apabila sampai di Malaysia, tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam untuk pulang ke rumah melainkan dijemput ahli keluarga.
"Keluarga saya tinggal jauh di Kota Bharu, Kelantan manakala Randy pula keluarganya berada di Sandakan, Sabah. Jadi, kami diberi pilihan untuk menjalani kuarantin di universiti di sekitar Kuala Lumpur atau berdekatan lalu memutuskan untuk menjalani kuarantin di USIM kerana lebih dekat," katanya.
Katanya, dia bersama dengan Randy tinggal di USIM bermula 27 Mac hingga Khamis lalu sebelum dibenarkan pulang oleh Kementerian Kesihatan setelah disahkan ujian saringan Covid-19 mereka adalah negatif.
Kesemua mereka turut melahirkan rasa terima kasih kepada USIM kerana selama berada di kolej kediaman universiti itu, mereka mendapat perhatian dan layanan yang baik serta diberi kemudahan penginapan yang selesa sepanjang PKP ini. - Bernama