SHAH ALAM - Satu forum santai menerusi panggilan video bertajuk Gema Malam Tarawih Khamis lalu menarik perhatian warganet kerana membincangkan hukum mempamerkan kerja amal dan sedekah yang dilakukan di media sosial.
Forum yang dihoskan pendakwah Ustaz Haslin Baharim itu menampilkan tiga lagi pendakwah terkenal Datuk Mohd Dr Izhar Ariff, Ustaz Abdullah Khairi dan Syamsul Debat.
Kesemua mereka bersetuju bahawa menunjukkan sedekah di media sosial tidak haram kerana bertujuan menjadi ikutan masyarakat.
Kata Ustaz Haslin Baharim,"Kita bukanlah hakim atau juri untuk menghukum seseorang itu sama ada ikhlas ataupun sebaliknya."
Dr Izhar Arif yakin apabila individu itu membuat kebaikan, bukan bertujuan riak tetapi mewujudkan sifat saling tolong-menolong dan mahu mengajak masyarakat melakukan perkara sama.
Ustaz Abdullah Khairi pula berkata, boleh menunjukkan sedekah di media sosial kerana dalam sedekah tersebut terdapat sumbangan daripada orang lain juga.
"Jadi ia sebenarnya dilakukan bagi mengelakkan terjadinya fitnah dan orang yang menyumbangkan sedekah tersebut turut berasa senang pada masa yang sama,” katanya.
Ustaz Syamsul Debat pula percaya niat mereka yang memberi sumbangan kepada golongan memerlukan adalah baik dan menasihatkan supaya lebih berhati-hati menunjukkan publisiti mereka di media sosial.
"Orang yang menghentam (ustaz) ni, istilahnya kalau tak boleh menyenangkan orang jangan menyusahkan orang,” kata Ustaz Syamsul Debat.
Sehingga jam 8 malam ini, forum berkenaan ditonton 362,000 pengguna di Facebook Ustaz Haslin.