GEORGE TOWN- Kebiasaannya menjelang sesuatu perayaan akan ada para peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan keperluan berikutan permintaan meningkat.
Namun bagi seorang pembekal dan pemborong buah kelapa, P. Sarasvathy, 60, beliau tetap mengekalkan harga jualannya seperti hari-hari biasa antara RM1.40 dan RM1.50 sebiji, biarpun permintaannya meningkat menjelang perayaan Thaipusam pada 21 Januari ini.
Beliau, yang menjalankan perniagaan itu selama 26 tahun di Jalan Rangoon dan Lorong Abu Siti, di sini berkata walaupun ada persaingan dengan pembekal dan pemborong kelapa lain yang menjual pada harga yang lebih murah, namun pihaknya akan memastikan kelapa yang dijual adalah berkualiti.
"Tahun ini tempahan agak kurang berbanding tahun-tahun sebelum ini kerana ramai orang jual kelapa dan ada di antara mereka yang menjual kelapa yang diimport dari Indonesia dengan harga lebih murah, di antara 80 sen dan RM1 sebiji, tapi kurang kualitinya.
"Kalau diikutkan, (bekalan) kelapa tempatan pun sudah mencukupi untuk menampung permintaan dari pembeli," katanya.
Sarasvathy berkata tahun ini pihaknya hanya menerima tempahan 70,000 biji kelapa berbanding tahun-tahun sebelum ini 150,000-200,000 biji kelapa.
Beliau berkata kebanyakan pembelinya adalah pelanggan tetap termasuk individu, pihak kuil dan syarikat-syarikat.
"Kelapa saya kebanyakannya diambil dari Perak. Tahun ini bekalan kelapa banyak tapi permintaan sedikit kurang. Tapi Thaipusam tetap kita rasa meriah," katanya.
Sementara itu, anak kepada Sarasvathy, G. Vivek, 25, berkata beliau bersama adiknya, Alagendran, 24, akan mula meletakkan kesemua kelapa yang ditempah pada Sabtu ini. Beliau berkata untuk tahun ini kelapa yang telah ditempah pelanggan akan diletakkan di kira-kira 200-300 buah tempat di bahagian pulau mengikut permintaan pelanggan.
"Kami akan mula letakkan kelapa di tempat tertentu pada Sabtu malam iaitu sebelum pedati mula berarak. Pada hari Selasa kami ada meletakkan kelapa juga. Saya dibantu adik saya bersama dua lagi pekerja.
"Kadang-kadang kami tidak tidur kerana pergi letak kelapa ini sepanjang malam. Penat tapi gembira sebab dapat bantu pelanggan tunai hajat," katanya. -Bernama