Rakyat muak dengar politik, kata Muhyiddin

Iklan
Muhyiddin (kanan) ditemu bual Zaleha Khairene (tengah) dan Essan yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen dan media sosial tadi.

SHAH ALAM - Rakyat sudah muak dan tidak mahu dengar tentang soal politik sebaliknya hanya mahu tahu apa yang kerajaan lakukan untuk menangani penularan pandemik koronavirus (Covid-19) dan memulihkan semula ekonomi negara.

Perdana Menteri, Tan Seri Muhyiddin Yassin berkata, amanah dan tanggungjawabnya adalah bagi memastikan segala urusan pentadbiran kerajaan berfungsi dengan baik dan melaksanakan tugas seperti dimahukan rakyat.

Iklan
Iklan

"Dalam keadaan sejak saya duduk di kerusi Perdana Menteri, saya tidak fikir soal politik, soal pokok sekarang ini rakyat tidak mahu dengar dah dan sudah muak dengar cerita-cerita politik.

"Yang mereka hendak tahu apa kerajaan buat, apa Perdana Menteri atau jemaah menteri dan pentadbiran kerajaan pada hari ini laksanakan untuk menangani isu penting yang sedang mereka hadapi.

Iklan

"Sebab itu saya tidak pun dalam mana-mana kenyataan sebelum ini hatta sekarang ini hendak mengulas soal-soal berkaitan politik, nanti orang kata soal Covid-19 tidak selesai, dia cerita soal parti dia, dia cerita soal gabungan dia, keabsahan dia, ini rakyat tidak berminat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual khas selama 45 minit bersama Perdana Menteri Malaysia Kelapan yang dikendalikan penyampai RTM, Zaleha Khairene Ismail dan penyampai Astro AWANI, Essan Yahya.

Iklan

Muhyiddin tampil buat kali pertama dalam temu bual yang disiarkan secara langsung di semua stesen televisyen malam semalam, selepas memegang tampuk pentadbiran negara pada 1 Mac lalu.

Dalam pada itu, menurutnya, kerajaan menyedari bahawa langkah untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi kesan besar kepada rakyat apabila negara mengalami kerugian dari segi ekonomi sebanyak RM2.4 bilion sehari.

"Jelas terbukti bahawa dalam sehari perniagaan kita tidak berjalan, kita rugi RM2.4 bilion. Cuba kira berapa hari sudah kita kenakan PKP ini, tetapi perkara penting ialah kita hendak mengawal wabak ini tidak berjangkit dan merebak kepada satu jumlah yang berpuluh ribu atau ribuan mati di sesetengah negara.

"Kita tidak ada pilihan untuk melakukan PKP tetapi kesan kepada ekonomi amat buruk sekali, kita tahu perniagaan kecil rugi besar, perniagaan sederhana, kilang-kilang, perniagaan mikro dan sederhana semua terkesan dan tidak boleh beroperasi," katanya.

Katanya, jika negara tidak melaksanakan perkara itu maka ekonomi yang telah dibina sejak enam dekad lalu akan runtuh dan musnah.

"Saya sudah ingatkan kepada Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) kalau kita lewat sebulan dan tidak ada langkah kita mulakan maka semua sistem ekonomi kita akan rosak agak besar.

"Sebab itu, kita ambil langkah agak berani yang tidak pernah berlaku sebelum ini walaupun menteri kewangan kita baru dan apabila dia masuk saya minta segerakan kerja itu dalam tempoh dua minggu.

Muhyiddin berkata, justeru terbentuk pakej rangsangan bernilai RM250 bilion dan selepas itu ditambah RM10 bilion untuk fasa kedua.

"Tujuan kita bukan untuk apa ialah supaya kedudukan ekonomi kita jangan sampai teruk sekali, ini pun untuk pakej rangsangan untuk melegakan pada satu jangka yang tidak terlalu panjang dalam tiga hingga enam bulan sahaja," katanya.