Hamid Gurkha pernah tangkap komunis

Iklan
Hamid bersama isteri tercinta.

GAYANYA bersahaja dalam menuturkan kata-kata, namun setiap kali berbicara pasti tercuit hati orang mendengarnya. Itulah kelebihan seniman bernama Hamid Gurkha sepanjang 60 tahun bergelar pelakon dan pelawak tanah air.

Sebut sahaja nama Hamid Gurkha, boleh dikatakan hampir semua rakyat Malaysia yang meminati drama dan filem sekitar tahun 1980-an dan 1990-an mengenali lelaki ini.

Iklan
Iklan

Di sebalik perwatakannya yang lucu, siapa sangka Hamid Gurkha atau nama sebenarnya Abdul Hamid Abdul Rahman pernah menjadi anggota tentera suatu ketika dahulu.

Menelusuri sejenak pengalamannya sebagai anggota tentera, katanya, beliau menyertai pasukan tentera sekitar tahun 1950-an.

Iklan

"Waktu itu di pekan, saya lihat ramai orang berkumpul, jadi saya pun pergilah. Rupanya ada tawaran untuk sesiapa yang nak jadi askar.

"Saya disapa oleh seorang pegawai tentera berpangkat sarjan, dia tanya saya nak jadi askar tak? Memandangkan saya tak kerja, saya pun kata memang saya nak, jadi alhamdulillah saya dapat jadi seorang askar Melayu,” katanya kepada Sinar Ahad baru-baru ini.

Iklan

Tujuh tahun berkhidmat dalam Rejimen Askar Melayu Diraja memberikan banyak pengalaman kepada dirinya.

"Sebenarnya nama saya orang panggil Hamid saja. Masa saya masuk askar, ada satu kejadian yang menyebabkan perkataan Gurkha lekat pada nama saya sampai hari ini.

"Masa saya berkawad dekat Padang Square, Port Dickson, ada jurulatih mungkin dia tak tahu nama saya, dia panggil saya Gurkha. Jadi Gurkha itu dah lekat pada nama saya sampaikan orang panggil saya Hamid Gurkha,” katanya.

Hamid Gurkha

Istilah Gurkha merujuk kepada askar dari Nepal yang berkhidmat untuk tentera British selama lebih 200 tahun.

Menceritakan pengalaman sebagai anggota tentera, kata Hamid, antara yang tidak dapat dilupakan beliau adalah peristiwa bertempur dengan pengganas komunis beberapa kali di dalam hutan.

"Komunis ni sebenarnya sangat takut dengan askar. Ini berdasarkan cerita pengganas komunis yang berjaya kami tangkap.

"Dia cerita kalau mereka jumpa askar, memang mereka akan terus lari. Seboleh-bolehnya mereka tak mahu bertempur sebab kelengkapan mereka agak uzur berbanding kelengkapan askar pada waktu itu yang lebih canggih,” ceritanya.

Menurut Hamid, beliau bersyukur kerana tidak cedera sepanjang bertempur di hutan.

"Masa dalam hutan jangan ceritalah, naik bukit turun bukit. Tapi satu perkara yang saya masih ingat, dalam hutan ini kalau waktu malam agak terang, bukan cerah seperti siang, tapi kita masih boleh berjalan dalam hutan pada waktu malam.

"Ini kerana daun kering dalam hutan nampak seolah-olah putih, mungkin disebabkan cahaya bulan atau pokok-pokok hutan yang tinggi,” kata beliau.

Penghibur

Menceritakan detik awal dirinya sebagai penghibur, katanya, ia berlaku secara tidak sengaja.

"Selepas jadi askar, saya pulang ke kampung. Pada masa itu, di kampung ada program seperti sambutan hari raya.

"Jadi saya bersama rakan sertai program itu. Kami buat aksi lawak, tak sangka ramai yang terhibur. Itulah permulaan bagaimana saya bergelar pelawak,” kenang beliau.

Nama Hamid Gurkha melonjak di persada seni tanah air bermula pada tahun 1980-an apabila beliau membintangi pelbagai filem. Filem seperti Sikit Punya Gila (1982), Ragam Pemandu (1986), dan Main-Main Hantu (1990) memberi impak besar kerana filem itu memperkenalkan namanya kepada masyarakat.

Pada usia 87 tahun, Hamid kini lebih senang untuk menghabiskan masa bersama 32 cucu dan 14 cicit.

Selain itu, antara filem yang dibintangi Hamid Gurkha ialah Gila-Gila (1979), Aku Yang Berhormat (1983), Talak (1984), Konstabel Mamat (1992), Impian (1996), Silat Lagenda (1998), Senario The Movie (1999), Kemarau Cinta (2005), Salah Bapak (2006), Zombi Kampung Pisang (2007) dan Alamak Toyol (2011).

Pada usia 87 tahun kini, Hamid lebih banyak meluangkan masa di rumah bermain bersama cucu-cucunya. Menurutnya, beliau lebih senang berada di rumah bersama anak dan cucu.

"Kalau ada tawaran berlakon pun sukar saya nak terima. Saya lebih suka duduk di rumah, main dengan cucu-cucu,” katanya yang tinggal di Klang, Selangor.

Biarpun Hamid Gurkha merupakan satu nama besar dalam industri seni tanah air namun beliau tetap memegang prinsip sentiasa merendah diri dan tidak berlagak sombong. Ujarnya, apa yang penting adalah sikap menghormati mereka yang lebih tua.

"Hidup ini satu saja, jangan sombong dengan orang, sapalah walaupun sekadar memberi salam, tegurlah.

"Ke mana pun kita pergi, jangan sombong dengan orang, terutama mereka yang lebih tua daripada kita. Jangan sombong, jangan hidung tinggi,” katanya mengakhiri bicara.